Akhirnya Zahid berdepan ‘guru’ selepas episod “cukup-cukuplah guru” di PAU
Momen Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berada dalam satu frame pada Sambutan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak malam tadi mencuri perhatian.
Rakaman momen berkenaan membangkitkan semula ‘perang’ istilah “guru” dan “murid” yang tercetus antara kedua-dua pemimpin itu.
Zahid sebelum ini menggunakan istilah “guru” ketika menyindir kerajaan dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini, termasuk ungkapan “cukup-cukuplah guru” dan meminta “guru” mendengar suara rakyat.
Anwar kemudian menyindir semula secara halus apabila menggunakan gelaran “guru” dalam hantaran media sosial ketika tiba di New Delhi bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS.
“Alhamdulillah guru selamat tiba di New Delhi, India untuk membawa nama negara di pentas dunia… Semoga anak didik dapat belajar dari guru cara diplomasi Madani diterjemahkan. Slayyy.”
Anwar turut menggunakan istilah “anak didik”, sekali gus dilihat sebagai respons bersahaja terhadap sindiran Zahid beberapa hari sebelumnya.
Dan malam ini, istilah itu seakan mendapat ‘babak sambungan’ di Sarawak.
Anwar dan Zahid berada dalam program yang sama, menghasilkan satu frame yang tentunya menarik perhatian selepas episod “guru” dan “murid” mereka menjadi bualan.
Momen itu juga memberi gambaran berbeza daripada nada Zahid di PAU sebelum ini, apabila “guru” yang diminta “cukup-cukuplah” akhirnya tetap berada dalam satu frame bersama beliau pada malam sambutan Hari Malaysia.