Exco mahu warta, pakar tegaskan tandatangan MB tak mampu ‘halalkan’ proklamasi cacat

Arahan kerajaan Negeri Sembilan supaya proses pewartaan penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir diteruskan mengundang persoalan apabila pakar undang-undang menegaskan tandatangan Menteri Besar tidak mampu mengesahkan proklamasi yang didakwa cacat sejak awal.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim hari ini mengesahkan perkara itu diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam mesyuarat pada 15 September lalu.

Beliau berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim telah diminta meneruskan proses pewartaan mengikut peraturan sedia ada, meskipun Dewan Keadilan dan Undang (DKU) berpendirian Tuanku Muhriz masih pemerintah yang sah. 

Bagaimanapun, beberapa laporan media tempatan mengulas dengan memetik beberapa orang pakar undang-undang, antaranya Prof Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal menegaskan tandatangan Menteri Besar tidak dengan sendirinya menjadikan proklamasi berkenaan sah sekiranya proses asasnya bercanggah dengan undang-undang serta adat Negeri Sembilan.

Memetik The Malaysia Press, tiga daripada individu yang terlibat menandatangani proklamasi itu didakwa tidak lagi memegang jawatan Undang ketika dokumen berkenaan dikeluarkan, sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap kesahihannya.

“Bagi saya, tandatangan Menteri Besar baharu itu tidak berkesan kerana proklamasi itu sendiri adalah tidak betul dari segi undang-undang dan adat,” katanya.

Sementara itu, laporan Twentytwo13 memetik pakar perlembagaan, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi sebelum ini turut berpandangan proses menurunkan Tuanku Muhriz tidak sah kerana tiada siasatan penuh dilaksanakan, tiada alasan khusus dikemukakan dan baginda tidak diberikan peluang menjawab dakwaan.

Menurut Shad Saleem, prinsip keadilan asasi menghendaki seseorang diberi hak untuk didengar, manakala penyertaan individu yang bukan Undang sah dalam proses itu boleh menyebabkan keseluruhan tindakan berkenaan menjadi tidak sah. 

DKU pula menegaskan keputusan Exco pada 16 September tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang kerana MMKN tidak mempunyai bidang kuasa menentukan kesahan proklamasi atau kedudukan Yang di-Pertuan Besar.

Dewan itu turut menegaskan tiada kekosongan takhta dan Tuanku Muhriz kekal sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah, sementara pertikaian berkenaan masih berada dalam prosiding Mahkamah Tinggi. 

BACA JUGA RM280,000 belum bayar, Papagomo cuba tangguh, mahkamah kata ‘tak cukup alasan’