Kita sudah berjanji – PMX tegaskan MA63 waad nasional yang mesti dikotakan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia dibina atas satu waad nasional yang menuntut setiap janji antara pemerintah dan rakyat diterjemahkan melalui tindakan, bukannya sekadar kekal sebagai ungkapan.

Menurut beliau, waad itu merupakan ikrar dan muafakat bersama untuk mempertahankan sebuah Persekutuan yang berdaulat, menegakkan keadilan serta menjamin kesejahteraan seluruh rakyat tanpa mengira wilayah.

Anwar berkata, amanah tersebut mesti terus dipegang teguh oleh generasi hari ini, termasuk dengan mengotakan janji yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak boleh dianggap sebagai urusan Sabah dan Sarawak semata-mata kerana ia merupakan tanggungjawab nasional yang perlu dijawab secara bersama.

“Kita sudah berjanji, dan menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk menterjemahkan serta mengotakan janji yang menjadi asas pembentukan Malaysia,” katanya.

Pendirian itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan semangat MA63 diterjemahkan melalui ikhtiar nyata demi menjamin keadilan, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat di seluruh negara.

PMX turut menyambut baik sikap majoriti rakyat Malaysia yang terus meletakkan kepentingan kesatuan dan perpaduan negara mengatasi kepentingan kelompok atau politik sempit.

Beliau berkata, perbezaan pandangan boleh dibicarakan dalam ruang demokrasi, namun ruang tersebut mesti dimanfaatkan untuk membina dan memperkukuh negara, bukannya merobek ikatan yang telah terbina sekian lama.

Anwar turut mengingatkan rakyat supaya tidak membiarkan seruan berunsur pemencilan, kesempitan dan kepuakan mengatasi kepentingan negara kerana kemajuan Sabah dan Sarawak juga merupakan kemajuan Malaysia seluruhnya.

“Inilah semangat Malaysia yang mesti terus kita hidupkan, bukan sekadar dalam ungkapan, tetapi diterjemahkan melalui ikhtiar dan tindakan yang menjamin keadilan, kesejahteraan serta kemakmuran seluruh rakyat,” katanya.

BACA JUGA DKU tegaskan Tuanku Muhriz masih Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, proklamasi 19 April cacat sejak awal