Laung ‘Daulat Tuanku’, tapi sokong penurunan takhta? Kenyataan Pemuda Umno cetus kecaman
Kenyataan Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin yang mempertahankan kuasa Undang Yang Empat dalam isu penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mencetuskan kecaman netizen.
Rata-rata menyifatkan pendirian itu bercanggah dengan laungan “Daulat Tuanku” yang digunakan pada penghujung kenyataannya.
Mohamad Fadil dalam kenyataan medianya menegaskan hak menaikkan dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar terletak di tangan Undang Yang Empat sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Dia turut menolak penggunaan istilah “derhaka” terhadap pihak yang menyokong proklamasi berkenaan.
“Tidak ada istilah derhaka apabila proklamasi yang telah ditandatangani YAB Menteri Besar Negeri Sembilan disahkan oleh Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
“Juak-juak Pakatan Harapan perlu menghentikan segera tuduhan penderhakaan supaya mereka tidak terlihat kurang bijak serta tidak memahami Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya.
Semalam, barisan Exco kerajaan negeri mengumumkan pendirian bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah sah dan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.
Tidak masuk campur
Mengulas lanjut, Fadil menegaskan Umno “langsung tidak masuk campur” dalam urusan tersebut dan mendakwa parti itu sekadar menjalankan amanah serta tanggungjawab yang termaktub dalam UUTKNS 1959.
Namun, penjelasan berkenaan gagal meredakan kritikan di ruangan komen Facebook pemimpin Umno itu.
Ramai dilihat mempersoalkan bagaimana Umno boleh mendakwa tidak campur tangan tetapi pada masa sama tampil mempertahankan proses dan proklamasi berhubung penurunan takhta berkenaan.
Netizen turut mempersoalkan sama ada baginda diberikan alasan dan ruang untuk mempertahankan kedudukannya.
Pengguna Facebook, Annuar Wajidi, secara terus bertanya: “Apa salah Tuanku Muhriz… cerita lah… lepas tu bagi la dia bela diri.”
Ada turut mengungkit dakwaan sebelum ini bahawa Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata beliau menandatangani satu dokumen berkaitan di bawah paksaan.
Bagi Hafiz Hassan pula, beliau menegaskan pertikaian sebenar bukan sekadar mengenai sama ada Undang mempunyai kuasa, sebaliknya berkaitan proses penurunan itu sendiri.
“Orang persoalkan proses penurunan tu… telus dan mengikut prosedur ke tidak,” katanya.
Lebih keras, beberapa netizen menggunakan perkataan “derhaka” dan “pengkhianat” terhadap pihak yang menyokong penurunan Tuanku Muhriz.
Pendirian pemimpin Umno berkenaan itu juga mengundang sindiran: “Pakar tebuk atap… sekarang tebuk istana.”
Ada juga yang mempersoalkan kedudukan kerajaan negeri selepas anggota pentadbiran mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Muhriz sebelum pertikaian mengenai status baginda memuncak.
Pertikaian itu turut mendapat perhatian bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mempersoalkan perubahan pendirian kerajaan negeri serta kuasa Exco dalam menentukan kedudukan Tuanku Muhriz.
Beliau mendakwa tindakan Exco berhubung perkara tersebut sebagai penderhakaan dan menggesa tindakan undang-undang diambil.
BACA JUGA Tiga hari, tiga kenyataan berbeza: Apa sebenarnya berlaku dalam MMK Negeri Sembilan?