MB, Exco boleh ‘turunkan’ Yamtuan? AMH kata Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan tak beri kuasa
Pertikaian mengenai kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir semakin panas apabila Angkatan Muda Harapan (AMH) mempersoalkan tindakan kerajaan Negeri Sembilan yang menerima proklamasi 19 April lalu, dengan menegaskan Menteri Besar dan Exco tidak mempunyai kuasa untuk menentukan penurunan Yang di-Pertuan Besar.
AMH berkata, perkara berkaitan kedudukan institusi berkenaan tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), bukannya keputusan unilateral Menteri Besar, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) atau kerajaan negeri.
Menurut AMH, Fasal XVI(3) memperuntukkan peranan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dalam perkara berkaitan adat Melayu, termasuk pemilihan, pewarisan, penyingkiran atau kekosongan jawatan Undang Yang Empat.
“Peruntukan ini bermaksud Dewan Keadilan dan Undang (DKU) ialah badan yang mempunyai kata putus dalam perkara berkaitan adat Melayu serta pemilihan, pewarisan, penyingkiran atau kekosongan jawatan Undang Yang Empat,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, AMH mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang menurutnya seolah-olah meletakkan kuasa MMK mengatasi institusi DKU dalam perkara yang didakwa berada di bawah bidang kuasa adat dan perlembagaan Negeri Sembilan.
Kontroversi tercetus selepas Menteri Besar, Ismail Lasim mengesahkan kerajaan negeri memutuskan secara sebulat suara untuk menerima proklamasi 19 April yang mendakwa Tuanku Muhriz diturunkan, selain mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.
Ismail berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco pada 15 September lalu dan Setiausaha Kerajaan Negeri diarahkan meneruskan proses pewartaan mengikut peraturan sedia ada. Pada masa sama, beliau sebelum ini menegaskan bahawa Menteri Besar tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Pendirian itu bagaimanapun dipertikaikan DKU yang menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan tiada kekosongan jawatan berlaku selagi kedudukan baginda masih sah. DKU turut berkata pengumuman Exco tidak memberi kesan terhadap kedudukan tersebut.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mencabar anggota Exco Negeri Sembilan yang tidak lagi mengiktiraf Tuanku Muhriz supaya meletakkan jawatan, dengan alasan mereka baru mengangkat sumpah jawatan di hadapan baginda selepas pembentukan kerajaan negeri.
AMH pula memberi amaran bahawa jika kerajaan negeri terus mempertahankan kesahan proklamasi 19 April, ia boleh mencetuskan persoalan perlembagaan yang lebih besar, termasuk berhubung kedudukan individu yang menandatangani dokumen itu jika benar terdapat persoalan mengenai status mereka sebagai Undang pada ketika berkenaan.
BACA JUGA Exco mahu warta, pakar tegaskan tandatangan MB tak mampu ‘halalkan’ proklamasi cacat