Piranha di Pahang: Seekor ditemui, populasi pula belum terbukti
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menegaskan setakat ini belum ada bukti menunjukkan ikan piranha sudah bertapak dan membiak di Empangan Klau, Raub, Pahang, walaupun seekor ikan yang mempunyai ciri seumpama piranha dilaporkan ditangkap di kawasan berkenaan.
Penjelasan itu dibuat susulan penemuan seekor ikan yang disyaki piranha menggunakan jala pada 26 Ogos lalu, sebelum gambar dan rakamannya tersebar di media sosial.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain, berkata penilaian teknikal oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Negeri Sembilan mendapati ciri morfologi ikan berdasarkan gambar dan video adalah konsisten dengan genus Pygocentrus, iaitu kumpulan ikan piranha.
Namun, katanya, pengesahan sehingga ke peringkat spesies tidak dapat dibuat kerana spesimen fizikal ikan itu sudah tiada untuk pemeriksaan lanjut.
“Ikan tersebut dilaporkan telah mati dan dibuang oleh individu yang menangkapnya sebelum siasatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Lebih penting, menurut Adnan, setakat ini hanya seekor ikan berkenaan dilaporkan ditangkap di kawasan Empangan Klau.
Malah, siasatan dan pemantauan lapangan oleh Pejabat Perikanan Negeri Pahang sehingga 15 September lalu tidak merekodkan sebarang tangkapan tambahan atau insiden keselamatan berkaitan ikan berkenaan.
Ini bermakna, berdasarkan bukti yang ada ketika ini, dakwaan bahawa Empangan Klau sudah menjadi tempat pembiakan populasi piranha masih belum dapat disahkan.
“Berdasarkan data dan bukti yang diperoleh setakat ini, belum terdapat bukti yang menunjukkan kewujudan populasi piranha yang telah bertapak dan membiak di Empangan Klau,” kata Adnan.
Beliau pada masa sama meminta orang ramai supaya tidak panik, sambil memberi jaminan bahawa DOF akan meneruskan pemantauan bersasar bagi mengesan sebarang perkembangan baharu di kawasan tersebut.
Isu itu sebelum ini mencetuskan kebimbangan selepas dakwaan mengenai penemuan ikan berkenaan tular di media sosial, termasuk dakwaan bahawa piranha terbabit dikatakan menyerang atau memakan buaya.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak membuktikan kewujudan populasi piranha di empangan berkenaan.
DOF turut mengingatkan bahawa pelepasan spesies ikan asing yang berpotensi menjadi invasif ke perairan umum boleh memberi kesan kepada ekosistem air tawar, populasi ikan tempatan serta kepelbagaian biologi akuatik.
Sehubungan itu, Pejabat Perikanan Negeri Pahang diarahkan meneruskan pemantauan berkala di Empangan Klau dan kawasan sekitarnya.
Adnan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melepaskan semula ke dalam air ikan yang disyaki spesies asing jika ditangkap.
“Sekiranya terdapat tangkapan ikan yang disyaki sebagai ikan asing seperti ini, jangan lepaskan semula ke dalam air.
“Simpan spesimen tersebut jika masih dalam keadaan sesuai dan segera hubungi pejabat perikanan berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan serta analisis lanjut, termasuk ujian DNA jika diperlukan,” katanya.