Apa alasan Tuanku Muhriz hendak diturunkan daripada takhta?
Kemelut melibatkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bukan perkara kecil yang boleh dibiarkan tanpa penjelasan menyeluruh.
Ia menyentuh Perlembagaan, Adat Perpatih, institusi Raja serta keyakinan rakyat terhadap kedaulatan undang-undang.
Kerajaan Negeri Sembilan pada 16 September mengumumkan bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026 berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah sah.
Kerajaan negeri turut menyatakan proklamasi itu menjadi sempurna selepas ditandatangani Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim pada 3 Ogos berdasarkan Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Namun perkembangan tersebut menimbulkan beberapa persoalan yang menurut Sheikh Omar Ali perlu diperjelaskan kepada rakyat.
“Apakah kesalahan Tuanku Muhriz sehingga Baginda hendak diturunkan daripada takhta?
Jika ada alasan yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, jelaskan kepada rakyat,” kata Sheikh Omar Ali, Ahli Dewan Negara dan AJK Eksekutif DAP Pusat.
Persoalan seterusnya melibatkan garis masa proses tersebut.
Kerajaan negeri menyatakan proklamasi penurunan takhta bertarikh 19 April menjadi sempurna apabila ditandatangani Menteri Besar pada 3 Ogos.
Pada masa sama, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dikatakan telah dipilih sebagai pengganti pada 19 April di bawah Perkara 11.
Jika proses penurunan takhta hanya sempurna pada 3 Ogos, timbul persoalan bagaimana pemilihan pengganti boleh dilakukan pada 19 April.
Adakah pengganti boleh dipilih sebelum jawatan Yang di-Pertuan Besar benar-benar dianggap kosong, atau keputusan pada 19 April itu sendiri sudah mempunyai kesan dari sudut perlembagaan?
Persoalan lain yang perlu diperjelaskan ialah status Tuanku Muhriz antara 19 April hingga 3 Ogos.
Jika pada 3 Ogos barulah proses tersebut dianggap sempurna, bagaimana pula kedudukan urusan rasmi yang berlaku sepanjang tempoh berkenaan?
Antaranya, Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos 2026 di hadapan Tuanku Muhriz ketika Baginda masih menjalankan fungsi sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Keadaan ini turut menimbulkan persoalan lebih luas mengenai kedudukan pelantikan barisan Exco dan fungsi Kerajaan Negeri sepanjang tempoh tersebut.
Menurut Sheikh Omar, menghormati Adat Perpatih dan kedudukan Undang tidak bermaksud rakyat tidak boleh bertanya bagaimana kuasa tersebut dilaksanakan menurut undang-undang.
“Menurunkan seorang Raja bukan perkara kecil. Jika ada sebab yang kukuh, nyatakan.
Jika prosesnya sah, jelaskan asasnya.
Jika berlaku pertikaian, selesaikan melalui saluran undang-undang yang sewajarnya,” katanya.
Apa yang perlu dipertahankan akhirnya ialah keluhuran Perlembagaan, kemuliaan institusi Raja dan keyakinan rakyat terhadap undang-undang.
Dalam perkara sebesar ini, fakta, asas undang-undang dan prosesnya perlu diperjelaskan secara terang kepada rakyat.
BACA JUGA PMX masih pilihan utama rakyat? Kajian Vodus letak Anwar jauh di depan