KPDN pantau harga setiap hari, kenaikan luar biasa dan tidak munasabah akan diambil tindakan

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Program Pasar Patuh 2026 Peringkat Negeri Selangor oleh YB Senator Datuk Dr Fuziah Salleh Timbalan Menteri KPDN. Turut hadir YB Najwan Halimi EXCO Selangor, YBhg. Datuk Roziah Abudin Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) dan Tuan Muhamad Hanif Asa’ri Pengarah KPDN Selangor di Pasar Moden Seksyen 16 Shah Alam, Selangor. 18hb September 2026 (Jumaat)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memantau pergerakan harga barangan secara harian dan akan mengambil tindakan sekiranya mengesan kenaikan luar biasa serta tidak munasabah yang mempunyai unsur pencatutan.

Timbalan Menteri KPDN, Senator Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, kementerian menyedari harga barangan dipengaruhi pelbagai faktor termasuk keadaan cuaca, geopolitik serta perubahan pengeluaran dan bekalan dalam pasaran. Turut hadir YB Najwan Halimi EXCO Selangor, YBhg. Datuk Roziah Abudin niTimbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) dan Tuan Muhamad Hanif Asa’ri Pengarah KPDN Selangor

“Apabila ada kenaikan yang luar biasa dan tidak munasabah, mungkin ada elemen seperti pencatutan, maka KPDN akan ambil tindakan. Tetapi kalau kenaikan itu munasabah dan mengikut pemantauan kita, maka ia dibenarkan,” katanya.

Menurut Fuziah, sebanyak 75 Pasar Patuh membabitkan 7,130 peniaga diwujudkan di seluruh negara, manakala tujuh pasar di Selangor melibatkan penyertaan 321 peniaga.

Pasar Moden Seksyen 16 pula merupakan antara lokasi pelaksanaan program berkenaan di Selangor dengan penyertaan 52 peniaga.

Fuziah menjelaskan Program Pasar Patuh memberi penekanan kepada pematuhan peniaga termasuk mempamerkan harga dengan jelas, memastikan alat timbang dan sukat mematuhi ketetapan serta mewujudkan transaksi yang telus dan menghormati hak pengguna.

Sebagai sebahagian usaha memperkasakan pengguna, sebuah alat timbang turut disediakan untuk kegunaan orang ramai bagi membolehkan mereka membuat semakan sendiri terhadap barangan yang dibeli.

Pada masa sama, KPDN turut mengadakan Jualan Rahmah Bergerak dengan diskaun lazimnya antara 10 hingga 30 peratus, manakala tawaran “happy hour” pada program hari ini mencecah sehingga 50 peratus.

Menurut Fuziah, barangan yang ditawarkan menerusi Jualan Rahmah Bergerak disusun supaya tidak bertindih dengan produk dijual peniaga pasar, malah peniaga tempatan turut diberikan peluang menyertai inisiatif berkenaan termasuk menawarkan ayam dan daging.

Mengulas mengenai harga telur, beliau berkata KPDN sedang memerhatikan sedikit kenaikan harga barangan itu dan antara langkah yang diambil ialah melengkapkan bekalan pasaran menerusi penjualan telur pada harga diskaun dalam Jualan Rahmah Bergerak.

Beliau pada masa sama menasihatkan pengguna supaya membandingkan harga dan membuat keputusan pembelian secara bijak khususnya ketika berlaku turun naik harga akibat faktor bekalan serta cuaca.

Fuziah turut memuji keadaan Pasar Moden Seksyen 16 yang bersih, moden dan selesa, selain menghargai usaha kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan dalam menyediakan persekitaran pasar yang lebih kondusif kepada peniaga dan pengunjung.