Saya minta maaf kepada Asyraf Wajdi kerana tidak mohon maaf – Ezzat

Pempengaruh media sosial, Ezzat Kamarudin, menyatakan kesediaannya berdepan tindakan undang-undang selepas menerima surat tuntutan (LOD) daripada Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ezzat berkata beliau tidak akan memadam hantaran yang dipertikaikan, selain enggan memenuhi tuntutan yang dikemukakan menerusi LOD berkenaan, termasuk tuntutan bayaran pampasan.

“Saya mohon maaf kepada Dr Asyraf Wajdi kerana saya telah membuat satu posting yang menyebabkan Dr Asyraf Wajdi telah pun menghantar LOD kepada saya.

“Saya mohon maaf juga kepada Dr Asyraf Wajdi sebab saya tak nak padam posting tersebut,” katanya dalam video yang dimuat naik di media sosial.

Dengan nada sinis, Ezzat berkata beliau turut mahu memohon maaf kerana tidak bersedia memenuhi tuntutan yang dikemukakan kepadanya.

“Saya nak minta maaf yang teramat sangat kepada Dr Asyraf Wajdi sebab saya tak nak ikut pun segala tuntutan Dr Asyraf Wajdi dalam LOD tersebut dengan segala pampasan.

“Saya yang minta maaf, Dr Asyraf Wajdi. Saya tak nak bayar satu sen pun kepada Dr Asyraf Wajdi,” katanya.

Menurut Ezzat, beliau sudah menghantar jawapan balas terhadap LOD berkenaan kepada Asyraf Wajdi.

“Makanya, saya pun telah membuat balas balik. Saya pun telah membalas balik LOD tersebut kepada Dr Asyraf Wajdi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersedia sekiranya Asyraf Wajdi memilih untuk membawa perkara itu ke peringkat seterusnya, termasuk memfailkan saman terhadapnya.

“Saya sedia kalau kata Dr Asyraf Wajdi nak panjangkan perkara ini ke peringkat yang seterusnya, nak keluarkan saman kepada saya dengan peguam sekali pun saman, saya sedia.

“Dan saya akan lawan Dr Asyraf Wajdi,” katanya.

Ezzat turut mempertahankan hantaran yang menjadi pertikaian dengan menegaskan bahawa kandungan berkenaan tidak mempunyai unsur fitnah.

“Kerana ingat, posting saya langsung tidak berkait dengan apa-apa fitnah,” katanya.

Pertikaian itu berlaku ketika Asyraf Wajdi mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu berhubung hantaran media sosial yang didakwanya mengandungi fitnah berkaitan dirinya dan isu Tabung Haji.

Sebelum ini, Asyraf Wajdi dilaporkan telah mengarahkan peguamnya mengeluarkan LOD kepada pihak terbabit sebagai langkah awal sebelum tindakan saman fitnah diteruskan.

Beliau turut dilaporkan menuntut ganti rugi berjumlah RM5 juta berhubung hantaran yang didakwa menjejaskan reputasinya. Asyraf Wajdi berkata tindakan tersebut dibuat bagi mendapatkan pembelaan melalui saluran undang-undang.

Ezzat pula dilaporkan sebelum ini menegaskan beliau tidak akan memadam hantaran tersebut dan bersedia membawa pertikaian itu ke mahkamah sekiranya tindakan undang-undang diteruskan.

Ezzat berkata beliau telah mengemukakan jawapan balas terhadap LOD berkenaan dan bersedia mempertahankan pendiriannya sekiranya Asyraf Wajdi memilih untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Saya sedia kalau kata Dr Asyraf Wajdi nak panjangkan perkara ini ke peringkat yang seterusnya, nak keluarkan saman kepada saya dengan peguam sekali pun saman, saya sedia.

“Dan saya akan lawan Dr Asyraf Wajdi kerana ingat, posting saya langsung tidak berkait dengan apa-apa fitnah,” katanya.

BACA JUGA Bila bercakap agama kita hebat, bila bercakap dunia kita lupa agama, kata Ustaz Zuliadin