SUK Negeri Sembilan tidak akan wartakan proklamasi turun Tuanku Mukhriz, akur pandangan Peguam Negara

SEREMBAN: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan menegaskan tidak akan mewartakan atau melaksanakan Proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Keputusan itu dibuat selepas pentadbiran negeri mendapatkan pandangan Penasihat Undang-Undang Negeri dan mengambil kira pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa Proklamasi berkenaan tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).

Kenyataan SUK itu hadir selepas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dilaporkan memberitahu media bahawa SUK telah diminta meneruskan proses mewartakan Proklamasi tersebut mengikut peraturan sedia ada.

Bagaimanapun, Pejabat SUK dalam kenyataan pada malam 17 September berkata pentadbiran negeri menerima nasihat perundangan berhubung perkara tersebut dan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan.

Menurut SUK, tindakan mewartakan atau melaksanakan Proklamasi itu dalam keadaan berkenaan akan menjadi tindakan yang tidak sah serta tidak berperlembagaan.

Pentadbiran negeri turut akur dengan pandangan AGC bahawa ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti atau kuasa di bawah UUTKNS 1959 untuk membuat pengumuman berhubung Proklamasi tersebut.

Malah, menurut kenyataan itu, tidak terdapat asas di sisi undang-undang untuk ahli MMKN bersandarkan Proklamasi 19 April berkenaan bagi membuat pengumuman mereka.

AGC pula menjelaskan bahawa tiada keterangan menunjukkan mana-mana faktor hilang kelayakan yang diperuntukkan di bawah Perkara 10(1) UUTKNS 1959 terpakai kepada Tuanku Muhriz. AGC turut menyatakan Menteri Besar dan MMKN tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.

Perkembangan terbaharu ini bermakna arahan untuk meneruskan pewartaan Proklamasi tersebut tidak akan dilaksanakan oleh pentadbiran negeri berdasarkan nasihat perundangan yang diterimanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan dilaporkan sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang Dipertua Dewan Keadilan dan Undang.