Tiga ‘culture shock’ minah Indonesia tinggal di Malaysia

Jarang melihat orang merokok, banyak taman awam yang luas dan terawat serta suasana jalan raya yang hampir tidak kedengaran bunyi hon antara tiga perkara yang mengejutkan TikToker Indonesia, Melimell, sepanjang tinggal di Malaysia.

Melimell berkongsi pengalaman tersebut menerusi TikTok, dengan menyifatkan ketiga-tiga perkara berkenaan sebagai “top three culture shock” yang dialaminya di Malaysia.

Menurutnya, perkara pertama yang paling menarik perhatiannya ialah jarangnya melihat orang merokok secara terbuka.

“Yang pertama adalah jarang banget aku menemui orang merokok, guys. Langka banget aku boleh menemukan pemandangan ini, yang setiap sudut itu tidak ada orang merokok.

“Ada sih yang merokok, tetapi jarang banget. Kalau ada pun paling satu dua orang dan itu jarang banget aku temui,” katanya.

Katanya, keadaan itu membuatkannya berasa lebih selesa, terutama kerana beliau mempunyai anak yang mengalami alahan pernafasan.

“Aku senang banget sebagai ibu yang punya anak alergi pernafasan. Senang banget kerana tidak ada orang yang merokok sembarangan,” katanya.

Perkara kedua yang mencuri perhatiannya ialah jumlah taman awam di Malaysia.

“Yang kedua adalah banyak banget taman di Malaysia. Jujur, di sini tamannya betul-betul besar, lengkap, luas, bersih dan terawat menurut aku,” katanya.

Menurut Melimell, kebanyakan taman yang ditemuinya turut menyediakan kemudahan seperti trek joging, taman permainan dan tempat duduk.

“Ada biasanya di taman itu trek untuk berjoging, kemudian ada juga taman permainan, ada tempat duduk dan semuanya bersih. Memang terawat,” katanya.

Beliau turut menyifatkan taman-taman berkenaan mudah dikunjungi orang ramai.

“Kenapa taman aku highlight? Sebab memang taman-taman di Malaysia itu reachable,” katanya.

Sementara itu, perkara ketiga ialah suasana jalan raya yang menurutnya hampir tidak kedengaran bunyi hon.

“Yang terakhir adalah tidak ada hon di jalanan Malaysia. Hampir tidak pernah aku temui orang membunyikan hon macam itu.

“Walaupun jalan sedang sesak atau misalnya ketika lampu merah hendak bertukar hijau, biasanya orang tergesa-gesa. Tetapi di sini tidak. Tidak ada hon sama sekali yang pernah aku dengar,” katanya.

Bagaimanapun, Melimell berkata beliau pernah sekali mendengar pemandu GrabCar membunyikan hon apabila sebuah kenderaan lain melakukan pergerakan yang membahayakan mereka.

“Pernah sekali aku naik GrabCar, kemudian pemandunya membunyikan hon kerana memang ada kereta yang membahayakan kami. Kereta itu membelok secara tiba-tiba,” katanya.

Melimell kemudian merumuskan ketiga-tiga perkara berkenaan sebagai pengalaman culture shock sepanjang berada di Malaysia.

“Ya, paling tidak itulah tiga culture shock aku ketika tinggal di Malaysia. Tiga,” katanya.

BACA JUGA DAP kekal tegas isu 1MDB, hormati kuasa pengampunan Agong