Umno lancar tabung bantu bayar denda RM50 juta Najib
Umno akan melancarkan Tabung Sumbangan bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda RM50 juta yang menjadi antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan kepadanya.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan hari ini berkata kutipan itu akan dibuka kepada kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mereka yang mahu memberikan sumbangan secara sukarela.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan secara telus, teratur serta mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada beberapa syarat termasuk pembayaran denda RM50 juta. Sekiranya syarat berkenaan tidak dipatuhi, pengampunan bersyarat itu boleh terbatal dan Najib perlu meneruskan baki hukumannya di penjara.
Justeru, kutipan yang diumumkan Umno itu dilihat mempunyai kepentingan langsung dalam usaha membantu Najib memenuhi kewajipan pembayaran denda tersebut.
“Umno juga dengan ini mengambil inisiatif untuk melancarkan kutipan Tabung Sumbangan bagi membantu meringankan beban Dato’ Sri Mohd Najib dalam melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan,” menurut kenyataan Presiden Umno itu.
Umno turut menyeru kepimpinan, ahli dan penyokongnya serta orang ramai yang mahu memberikan sokongan supaya menyumbang secara sukarela kepada tabung berkenaan.
Keputusan terbaru Lembaga Pengampunan dibuat dalam mesyuarat kali ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung di Istana Negara hari ini.
Pada 2024, hukuman Najib dalam kes SRC International telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
BACA JUGA Najib diberi tahanan rumah hingga 2028 dengan syarat bayar RM50 juta