Bagaimana Neutral Host Berfungsi – Capaian Selular Adil Untuk Semua Pengguna
Teknologi Neutral Host merupakan pendekatan perkongsian infrastruktur telekomunikasi yang membolehkan beberapa syarikat telco menggunakan kemudahan rangkaian yang sama. Melalui inisiatif JENDELA 2, pendekatan ini berpotensi memperluas capaian internet, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang sebelum ini berdepan masalah liputan.
Sistem ini berfungsi melalui sambungan internet menggunakan gentian optik, gelombang mikro atau satelit, bergantung pada keadaan lokasi. Infrastruktur yang dikongsi membolehkan pelanggan daripada pelbagai syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian menikmati kemudahan sambungan tanpa setiap telco perlu membina infrastruktur berasingan di kawasan yang sama.
Melalui pelaksanaan Neutral Host Platform JENDELA 2, pelanggan boleh mengakses kemudahan Wi-Fi bersama menggunakan pelan data mudah alih sedia ada, tertakluk kepada penyertaan dan pengesahan oleh pengendali masing-masing. Pendekatan ini mengurangkan pertindihan pembinaan infrastruktur, meningkatkan kecekapan penggunaan sumber dan membuka peluang untuk memperluas liputan internet kepada lebih ramai penduduk.
Inisiatif ini diharap dapat merapatkan jurang digital antara bandar dengan luar bandar, sekali gus membantu masyarakat menikmati akses kepada pendidikan digital, perniagaan dalam talian dan pelbagai perkhidmatan penting. Satu infrastruktur yang dikongsi, lebih ramai pengguna berpeluang menikmati manfaat kesalinghubungan digital, selaras dengan usaha menyediakan akses internet yang lebih inklusif kepada seluruh rakyat Malaysia.