Penyokong Malaysia tahan sorakan gol ketika azan berkumandang raih pujian

Tular satu video di media sosial apabila sekumpulan penyokong bola sepak di sebuah lokasi tontonan skrin besar dilihat menahan diri daripada bersorak ketika jaringan gol berlaku serentak dengan laungan azan.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika sesi tayangan mega live perlawanan bola sepak pada waktu malam. 

Ratusan penyokong dilihat duduk santai di atas bean bag, asyik menyaksikan perlawanan di skrin gergasi.

Menerusi video yang dikongsikan, aksi gol betul-betul berlaku ketika azan mula berkumandang.

Apa yang menyentuh hati, keseluruhan penyokong yang hadir sepakat menahan sorakan dan menghormati azan walaupun ketika itu pasukan kesayangan mereka baru sahaja menjaringkan gol. 

Tiada jeritan kuat, hanya tumpuan diberikan kepada skrin dengan penuh tertib.

Sejurus selepas azan tamat, terdengar tepukan gemuruh penonton sebelum semua berdiri untuk bersorak meraikan kemenangan pasukan mereka.

Momen ringkas sekitar beberapa saat itu pantas mendapat pujian ramai di ruangan komen. Rata-rata netizen memuji sikap hormat yang ditunjukkan, menyifatkan ia sebagai nilai murni yang masih tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Dalam ghairah bola pun masih tahu hormat azan. Ini baru penyokong Malaysia sebenar,” komen seorang pengguna.