Baru masuk PN, Pas dah tegur Wawasan jangan `over’ bergerak solo dalam PRN Melaka
Baru menyertai Perikatan Nasional (PN), Parti Wawasan Negara (Wawasan) sudah menerima teguran terbuka daripada Pas selepas membayangkan kemungkinan bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Yang Dipertua Pas Jasin, Datuk Kamaruddin Sedik, secara terbuka mengingatkan Wawasan supaya tidak terlalu ke hadapan dalam soal pengagihan kerusi sedangkan perkara itu belum pun dibincangkan secara rasmi oleh pucuk pimpinan PN.
Malah, bekas Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka itu menggunakan ungkapan cukup jelas dengan meminta parti berkenaan tidak “over” atau mendahului keputusan kepimpinan tertinggi gabungan tersebut.
“Wawasan tak perlu ‘over’ dan mendahului keputusan yang bakal dibuat. Serahkan kepada pucuk kepemimpinan PN untuk membuat keputusan.
“Sebenarnya, pengagihan kerusi masih belum dibincangkan pun dan sudah pasti belum ada kata putus,” katanya, dipetik BH.
Kamaruddin turut mengingatkan kedudukan Wawasan sebagai anggota baharu PN dengan menegaskan parti yang diterajui Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Presiden itu sepatutnya menghormati mekanisme rundingan dalam gabungan berkenaan.
“Jangan mendahului pucuk kepemimpinan PN, sebagai anggota baharu, saya nasihatkan Wawasan akur sahaja dengan keputusan yang bakal dibuat kelak,” katanya.
Untuk rekod, Wawasan secara rasmi menjadi parti anggota PN pada 6 Julai lalu berdasarkan Fasal 6.5 Perlembagaan PN.
Sebelum ini, Naib Presiden Wawasan, Tan Sri Rahim Tamby Chik, membayangkan kemungkinan partinya bergerak sendiri dan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka jika persefahaman mengenai pembahagian kerusi dengan Barisan Nasional (BN) gagal dicapai.
Rahim pada masa sama dilaporkan berkata ruang rundingan antara BN dan PN masih ada, namun Wawasan bersedia mengambil jalan sendiri jika kerjasama tersebut tidak menjadi kenyataan.
Bahkan, Wawasan sudah menyatakan hasrat mahu bertanding di DUN Bemban dan Sungai Udang tanpa mengira sama ada kerjasama BN-PN berjaya diwujudkan atau sebaliknya.
BACA JUGA Rakyat mainkan balik video ‘jangan sentuh raja kami’, kenapa Akmal tak lantang dekat geng sendiri?