Dua pegawai kanan digantung, Pemuda PH desak penjelasan Kerajaan N Sembilan

Ketika kemelut perlembagaan Negeri Sembilan belum menunjukkan tanda reda, kerajaan negeri kini berdepan persoalan baharu mengapa dua pegawai kanan yang memainkan peranan dalam urusan pentadbiran dan perundangan digantung pada saat kritikal ini?

Persoalan itu dibangkitkan Pemuda Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan susulan penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Muzalmah Mustapha Kamal.

“Persoalannya mudah, mengapa mereka digantung dan mengapa sekarang?” katanya dalam kenyataan.

Menurut Pemuda PH, kerajaan negeri perlu menjelaskan sama ada tindakan itu mempunyai kaitan dengan pandangan atau nasihat profesional yang diberikan Zafir dan Muzalmah berhubung krisis perlembagaan yang sedang berlaku.

“Kedua-dua jawatan ini mempunyai peranan penting dalam memberikan nasihat pentadbiran dan perundangan kepada kerajaan negeri, lebih-lebih lagi ketika Negeri Sembilan sedang berdepan krisis perlembagaan serius,” katanya.

Penggantungan itu diumumkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan secara sebulat suara supaya tugas kedua-dua pegawai terbabit digantung berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Ismail, notis penggantungan SUK akan dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), manakala bagi Penasihat Undang-Undang Negeri, notis berkenaan akan dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Tindakan itu berlaku ketika kedudukan 10 anggota Exco Negeri Sembilan turut menjadi pertikaian selepas Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan mereka pada Ahad lalu.

Sebelum itu, Pejabat SUK Negeri Sembilan menyatakan tidak akan meneruskan pewartaan atau pelaksanaan proklamasi 19 April berhubung dakwaan pelucutan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar.

Pendirian itu dibuat selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan proklamasi berkenaan tidak sah kerana gagal memenuhi keperluan mandatori di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Dalam kenyataan sebelum ini, Pejabat SUK turut menyatakan perkara berkenaan dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi memastikan tindakan pentadbiran mematuhi undang-undang dan perlembagaan negeri.

Perkembangan itu menjadi antara perkara yang kini dipersoalkan Pemuda PH, khususnya sama ada tindakan terhadap Zafir dan Muzalmah mempunyai hubungan dengan pendirian profesional mereka dalam krisis tersebut.

“Jika penggantungan ini langsung tidak berkaitan krisis perlembagaan, nyatakan dengan jelas kepada rakyat. Jangan sampai timbul persepsi bila ada yang menghalang, semua disingkirkan,” katanya.

Pemuda PH turut memberi amaran supaya pentadbiran negeri tidak dilihat menggunakan tindakan penggantungan sebagai tindak balas terhadap pegawai yang memberikan pandangan berbeza atau nasihat yang tidak selari dengan pendirian pihak tertentu.

“Negeri Sembilan memerlukan pentadbiran yang menghormati undang-undang, proses dan institusi, bukannya budaya ‘siapa halang, kita singkir’,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Pemuda PH mengaitkan perkembangan itu dengan pergolakan politik pada 2015 ketika kontroversi 1MDB memuncak.

Menurutnya, Peguam Negara ketika itu, Abdul Gani Patail, yang mengetuai pasukan petugas pelbagai agensi berkaitan siasatan 1MDB, digantikan, manakala pada hari sama Muhyiddin Yassin digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas mengkritik cara kerajaan mengendalikan isu berkenaan.

“Jangan ulangi politik lama. Rakyat berhak bertanya sama ada budaya politik seperti ini sedang berulang, apabila ada yang menghalang, mempertikai atau memberikan nasihat yang tidak mahu didengar, mereka disingkirkan,” katanya.

Bagaimanapun, Pemuda PH mengakui persoalan itu boleh dijawab dengan penjelasan kerajaan negeri sekiranya penggantungan tersebut sebenarnya berpunca daripada perkara lain.

“Jika bukan demikian, kerajaan negeri perlu menjelaskannya dengan segera,” katanya sambil menegaskan bahawa “sejarah 2015 tidak boleh berulang”.

Penggantungan SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri kini menambah satu lagi lapisan kepada kemelut Negeri Sembilan yang sebelum ini sudah menyaksikan pertikaian mengenai kesahan proklamasi 19 April, kuasa kerajaan negeri serta kedudukan Yang Dipertuan Besar dan barisan Exco.

BACA JUGA 55 ekar keluar, tetapi Tanah Rizab Melayu Selangor naik 2,680 ekar