Mahkamah tegaskan, bukan Fahmi, SKMM sekat akaun TikTok Na’im
Pertikaian mengenai sekatan dua akaun TikTok milik Ketua Armada Bersatu Selangor, Na’im Brundage, berakhir dengan satu persoalan utama di Mahkamah Tinggi, siapa sebenarnya yang membuat keputusan menyekat akaun berkenaan?
Hakim Mahkamah Tinggi, Norliza Othman, hari ini memutuskan bahawa tindakan menyekat atau menggantung akaun Na’im dibuat oleh TikTok dan bukannya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Keputusan itu menyebabkan permohonan Na’im untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap sekatan berkenaan ditolak.
Norliza membenarkan bantahan awal yang dikemukakan pihak kerajaan dan MCMC, dengan menyatakan tindakan MCMC memaklumkan TikTok mengenai dakwaan pelanggaran garis panduan komuniti oleh Na’im hanyalah tindakan pentadbiran.
Menurut hakim itu, tindakan berkenaan bukan keputusan yang boleh dikenakan semakan kehakiman.
“Dalam kes ini, halangan pertama yang gagal ditentukan pemohon ialah siapa yang membuat keputusan untuk menapis dan menyekat akaun TikToknya.
“Jelas sekali TikTok yang menapis dan menyekat akaun pemohon, bukannya responden,” katanya.
Kes itu bermula selepas Na’im mendapati dua akaun TikTok miliknya disekat pada 2023.
Beliau kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 24 Jun 2024 dengan menamakan lima pihak sebagai responden, iaitu Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian MCMC, Datuk Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen; Pengerusi MCMC; MCMC; Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Kerajaan Malaysia.
Na’im memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan yang didakwanya menyebabkan kedua-dua akaun TikTok berkenaan disekat.
Beliau juga mendakwa tindakan tersebut bercanggah dengan Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan tindakan berkenaan.
Dalam afidavit sokongannya, Na’im berkata kedua-dua akaun berkenaan digunakan sebagai medium untuk menyampaikan pandangan dan pendapatnya mengenai isu semasa termasuk berkaitan sosial, politik dan ekonomi.
Dalam penghakiman ringkasnya, Norliza turut merujuk surat Na’im bertarikh 23 Mac 2024 kepada MCMC.
Menurut beliau, surat itu menunjukkan Na’im menyedari akaunnya telah disekat dan cuba mendapatkan penjelasan, namun tidak menerima jawapan daripada TikTok.
Na’im kemudiannya mengesyaki sekatan tersebut dipengaruhi atau dikuatkuasakan secara langsung oleh MCMC.
Namun, pihak MCMC menjelaskan bahawa peranannya hanya memaklumkan TikTok mengenai dakwaan pelanggaran garis panduan komuniti sebelum platform berkenaan mengambil tindakan terhadap akaun tersebut.
Mahkamah menerima hujah bahawa keputusan sebenar untuk menyekat atau menggantung akaun dibuat oleh TikTok.
Justeru, Norliza berkata tiada keputusan MCMC dalam perkara itu yang boleh dicabar melalui semakan kehakiman.
Peguam yang mewakili Na’im, Latheefa Koya, selepas prosiding memaklumkan bahawa anak guamnya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Sementara itu, peguam A Ruebankumar yang mewakili MCMC berkata keputusan tersebut bermakna permohonan Na’im untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman telah ditolak.
Kes itu sebelum ini turut melalui prosiding berkaitan permohonan Na’im untuk meminda permohonan semakan kehakiman.
Pada Jun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pindaan tersebut, termasuk cadangan untuk mengubah relif certiorari dan mandamus berkaitan tindakan MCMC terhadap TikTok.
BACA JUGA Pulau Pinang mohon Belanjawan 2027 pacu pelancongan, tarik lebih banyak penerbangan antarabangsa