Tunggu-16 bukan halangan belajar, ibu bapa dan sekolah perlu main peranan
Pelaksanaan had pemilikan akaun media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun perlu disokong dengan pendidikan penggunaan digital yang selamat menerusi kerjasama kerajaan, sekolah dan ibu bapa.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Mohamad Sirajuddin Jalil, berkata tindakan mengehadkan pemilikan akaun media sosial itu tidak boleh dilihat sebagai satu-satunya penyelesaian kepada pelbagai masalah yang timbul dalam ruang digital.
Sebaliknya, katanya, kesatuan tindakan antara pihak berkepentingan perlu diwujudkan, termasuk membabitkan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selain ibu bapa.
“Berkaitan larangan pemilikan akaun media sosial bagi kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah ini, ia satu tindakan yang wajar. Bagaimanapun, dia tidak boleh menjadi single solution kepada masalah yang besar dalam ruang digital hari ini.
“Tindakan itu perlu didukung dengan kesatuan tindakan oleh pemegang taruh yang lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan ibu bapa.
“Kita ada Kementerian Pendidikan Malaysia yang mengelola waktu formal anak-anak di sekolah dan kesatuan kaedah itu dapat membentuk keseimbangan dalam pelaksanaan penguatkuasaan oleh kerajaan tadi,” kata beliau.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan mempunyai peranan dalam menguruskan waktu formal kanak-kanak di sekolah, manakala ibu bapa pula memainkan peranan penting dalam mendidik anak secara tidak formal ketika berada di rumah.
“Pemerkasaan pendidikan kepada kelompok ibu bapa itu penting sebab kelompok ibu bapa perlu mendidik secara tidak formal anak-anak mereka menggunakan platform digital di rumah,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga wajar mempertimbangkan inisiatif yang dapat memudahkan ibu bapa mendapatkan ilmu dan panduan untuk mendidik anak menggunakan platform digital, terutama kerana tahap pengetahuan dan latar belakang ibu bapa adalah berbeza.
Menurutnya, pendekatan itu penting supaya pelaksanaan had pemilikan akaun media sosial turut disokong dengan pendidikan dan bimbingan yang berterusan di rumah serta sekolah.
Pelaksanaan Tunggu-16 merujuk kepada had umur minimum 16 tahun bagi pendaftaran dan pemilikan akaun media sosial di Malaysia.
Keperluan pengesahan umur mula dikuatkuasakan pada 1 Jun 2026 menerusi Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
Langkah itu diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak, dengan penyedia perkhidmatan media sosial turut diwajibkan melaksanakan langkah keselamatan kanak-kanak serta perlindungan bersesuaian dengan umur pengguna.
Dalam konteks ini, Tunggu-16 memberi tumpuan kepada pemilikan akaun media sosial, bukan sekadar persoalan akses kanak-kanak kepada teknologi, menjadikan pendidikan dan bimbingan penggunaan digital antara aspek penting yang perlu bergerak seiring dengan pelaksanaannya.