Usaha singkir Tuanku Muhriz, PH Negeri Sembilan label Exco ‘penderhaka’

Kemelut institusi Diraja Negeri Sembilan terus memuncak apabila Majlis Pimpinan Negeri Pakatan Harapan Negeri Sembilan (MPNPHNS) melabel tindakan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang terlibat dalam pengiktirafan penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai satu bentuk “penderhakaan” terhadap Raja Pemerintah.

Dalam kenyataan media hari ini, MPNPHNS berkata pihaknya memandang serius perkembangan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan menegaskan pendirian bahawa proses untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz didakwa tidak mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Menurut PH Negeri Sembilan, penglibatan anggota Exco dalam usaha berkenaan amat serius kerana mereka didakwa terlibat secara menyeluruh dalam proses untuk menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta, yang menurut pendirian MPNPHNS bercanggah dengan Perkara 10(1) dan 10(2) UUTKNS 1959.

MPNPHNS turut membangkitkan surat Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, bertarikh 17 September kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz dan pemilihan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Kata mereka, surat itu turut memaklumkan keputusan MMKN pada 15 September yang mengiktiraf penurunan takhta Tuanku Muhriz serta pemilihan Tuanku Nadzaruddin, selain mengarahkan pentadbiran negeri melaksanakan keputusan berkenaan. 

Barisan Exco sebelum ini memang mengumumkan mereka mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.

MPNPHNS menyifatkan tindakan tersebut, jika dilakukan melalui proses yang tidak mematuhi UUTKNS, sebagai “suatu penderhakaan secara terang-terangan terhadap Raja Pemerintah” dan mendakwa ia merupakan penderhakaan besar terhadap institusi Raja Negeri Sembilan.

Pendirian itu turut dikaitkan dengan sumpah jawatan anggota Exco yang menurut MPNPHNS mengandungi ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar serta institusi Diraja.

Dalam pada itu, PH Negeri Sembilan menegaskan titah Tuanku Muhriz perlu dihormati dan dipatuhi, termasuk keputusan Istana pada 20 September yang membatalkan pelantikan kesemua anggota Exco berkuat kuasa serta-merta selepas mereka didapati memungkiri sumpah jawatan.

 Istana sebelum ini menyatakan anggota Exco terbabit telah bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan negeri dan mengiktiraf kuasa Dewan Keadilan dan Undang.

MPNPHNS berkata Menteri Besar sepatutnya mengambil tindakan susulan terhadap titah berkenaan dengan mengemukakan senarai calon Exco baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut UUTKNS 1959.

“Tiada mana-mana anggota pentadbiran negeri boleh memilih untuk mematuhi titah Raja hanya apabila titah tersebut selari dengan kehendak mereka sendiri,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, Ismail sebelum ini mengambil pendirian berbeza dengan menyatakan pembatalan pelantikan Exco tanpa nasihat atau permintaannya sebagai Menteri Besar merupakan kesilapan dari sudut undang-undang dan tidak mempunyai kesan perundangan. Beliau berkata kesemua Exco akan terus menjalankan tugas seperti biasa.

Kemelut itu turut menyaksikan kerajaan negeri pada hari ini mengambil tindakan menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta. 

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat khas MMKN, menurut kenyataan Menteri Besar.

MPNPHNS turut menggesa keseluruhan isu membabitkan 10 anggota Exco disiasat secara telus, bebas dan menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan. Mereka berkata sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan perlu diambil tanpa mengira kedudukan, pangkat atau jawatan.

Sebagai sebahagian daripada pendirian mereka, MPNPHNS turut mengumumkan Munajat Rakyat Negeri Sembilan dan Solat Hajat secara berjemaah di Seremban pada 24 September, yang akan disusuli program sama di peringkat Parlimen pada minggu berikutnya. 

Perkembangan itu berlaku ketika pertikaian mengenai kedudukan Tuanku Muhriz dan kesahan tindakan kerajaan negeri masih belum menemui penyelesaian. Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menghadap Tuanku Muhriz di Istana Negeri Sembilan selama kira-kira sejam pada 21 September.

BACA JUGA Tugas SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan digantung serta-merta – Ismail