‘Ini langkah biadab…sejak bila mereka ada mandat pertikai kedudukan Raja?’ – Anwar tempelak MB N9
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan barisan Exco menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta sebagai biadab dan tidak bertamadun.
Sambil menyatakan bantahan keras terhadap tindakan tersebut, Anwar turut mempersoal sejak bila mereka mempunyai kuasa untuk mempertikai kedudukan seorang raja.
“Dan yang paling saya fikir tidak munasabah ialah Menteri Besar dan Exco yang buat keputusan. Ini langkah biadab, tidak ada tamadun dan saya bantah keras.
“Sejak bila mereka ada mandat nak pertikai kedudukan Raja?,” kata Anwar kepada media Malaysia ketika menaiki kereta api berkelajuan tinggi menuju ke Hangzhou bagi meneruskan lawatan kerja tiga hari beliau.
Sebelum ini, Ismail mengesahkan bahawa pengisytiharan untuk menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah diputuskan dan dipersetujui sebulat suara oleh Exco negeri.
Perdana Menteri berkata beliau tidak memahami tindakan yang dilakukan oleh Menteri Besar dan Exco berhubung beberapa hal berkaitan institusi raja sehingga menimbulkan polemik di Negeri Sembilan.
“Itu masih boleh kita bincang dan batalkan, tetapi saya tidak boleh fikir seorang pemimpin Melayu boleh bawa usul jatuhkan Raja Melayu. Saya tidak boleh terima sama sekali,” kata beliau ketika mengulas mengenai polemik di Negeri Sembilan.