Mahfuz saran MB N. Sembilan undur diri kalau tak mampu pulihkan hubungan dengan Istana
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyarankan Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim untuk mengundurkan diri sekiranya hubungan antara Istana dan kerajaan negeri tidak lagi dapat dipulihkan di bawah kepimpinannya.
Menurutnya, Menteri Besar perlu membuat muhasabah politik yang serius berhubung kedudukannya dalam keadaan hubungan antara Istana dan kerajaan negeri ketika ini.
Beliau mempersoal, adakah Ismail yakin dirinya masih mempunyai ruang kepercayaan yang mencukupi untuk menjadi jambatan antara Istana dengan kerajaan negeri.
“MB perlu berani menilai kedudukannya sendiri dalam keadaan hubungan antara Istana dan kerajaan negeri sudah sampai ke tahap seperti hari ini. Saya berpandangan Menteri Besar perlu membuat muhasabah politik yang serius.
“Jika beliau merasakan masih mampu memulihkan hubungan tersebut, maka beliau perlu segera membina semula jambatan yang sudah dibakar.
“Tetapi jika kepercayaan sudah terlalu terhakis sehingga hubungan antara kedua dua institusi tidak lagi dapat dipulihkan di bawah kepimpinannya, maka demi kepentingan Negeri Sembilan, beliau wajar mempertimbangkan pengunduran diri,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Mahfuz berkata, dalam sistem Raja Berperlembagaan, Menteri Besar mempunyai kedudukan penting untuk memastikan hubungan antara institusi Raja, perkhidmatan awam dan kerajaan negeri berjalan dengan baik.
Malah kata beliau, Menteri Besar sepatutnya menjadi jambatan, bukan titik pertembungan, dan atas sebab itu Ismail perlu menjawab adakah beliau masih mampu menjadi jambatan yang menghubungkan Istana dengan kerajaan negeri apabila hubungan kepercayaan itu sudah begitu terhakis.
“Jambatan dibina untuk menghubungkan dua tebing. Kalau jambatan itu sendiri sudah di bakar, jangan pura-pura kata sungai masih boleh diseberangi seperti biasa.”
Mahfuz turut membangkitkan kemelut membabitkan perkhidmatan awam negeri apabila Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang digantung.
Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada kerajaan negeri sedang berusaha membaiki hubungan antara institusi atau sebaliknya semakin menjauhkan ruang untuk kembali berdamai.
Menurutnya, kepercayaan antara institusi penting bagi memastikan pentadbiran kerajaan dapat berjalan dengan baik tanpa menimbulkan keraguan terhadap setiap keputusan dan arahan.
“Bagaimana sebuah kerajaan hendak berjalan dengan baik apabila dua pihak yang sepatutnya berada dalam satu sistem pentadbiran sudah memberikan pendirian yang bertentangan?
“Persoalan sekarang bukan siapa lebih berkuasa, tetapi siapa yang boleh dipercayai. Kerajaan boleh mempunyai perbezaan pandangan. Tetapi kerajaan tidak boleh kehilangan kepercayaan,” kata beliau.
“Rakyat tidak boleh menjadi mangsa krisis kuasa
Rakyat Negeri Sembilan tidak memilih kerajaan supaya mereka melihat pesta pertikaian kuasa setiap hari,” tambahnya lagi.