MP Pendang tarik balik kenyataan fitnah terhadap Anwar
Kes saman fitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim, berakhir secara baik di Mahkamah Tinggi hari ini.
Ia selepas Ahli Parlimen Pas itu bersetuju menarik balik kenyataan fitnah yang menjadi asas kepada tindakan saman berkenaan.
Dalam kenyataan awam yang dipersetujui kedua-dua pihak, Awang Solahuddin dengan rendah diri bersetuju menarik balik segala kenyataan yang dibuat olehnya pada atau sekitar 21 Februari 2023 yang menjadi asas kepada saman fitnah tersebut.
Beliau turut bersetuju untuk tidak mengulangi atau menerbitkan semula apa-apa kenyataan yang sama atau mempunyai maksud serupa pada masa hadapan.
Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Anwar selaku plaintif memaklumkan kepada Hakim Roslan Mat Nor bahawa kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bagi menyelesaikan kes berkenaan.
“Kedua-dua pihak ingin merekodkan terma-terma yang dipersetujui. Sehubungan dengan itu, plaintif menarik balik tindakan guaman ini tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
“Kedua-dua pihak melampirkan satu salinan kenyataan awam yang telah dipersetujui bersama dengan usul persetujuan ini. Kami mengucapkan terima kasih kepada mahkamah dan rakan-rakan bijaksana. Saya mohon mahkamah melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan,” kata SN Nair.
Pada 3 Mac 2023, Anwar menfailkan saman fitnah terhadap Awang Solahuddin atas kenyataan yang didakwanya sebagai fitnah yang dibuat oleh Awang Solahuddin di lobi Parlimen semasa menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.
Menurut Anwar, kenyataan tersebut yang dirakam dalam format audio dan video telah didedahkan kepada orang ramai.
Beliau berkata kenyataan itu antaranya membawa maksud beliau yang mempunyai sifat pendendam serta membalas dendam telah menyalah guna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya memberi arahan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk mencapai agenda politik peribadi.
Anwar mendakwa Awang Solahuddin sengaja dan berniat jahat mengucap serta menerbitkan kenyataan fitnah itu untuk menghasut orang ramai serta menimbulkan kebencian peribadi terhadap plaintif yang kini ketua Kerajaan Perpaduan yang sah dan komited untuk membasmi segala bentuk rasuah.
Beliau berkata kenyataan fitnah itu memusnahkan reputasinya sebagai pemimpin yang dihormati di Malaysia serta di peringkat antarabangsa