Pakar mahu ancaman siber disekat lebih awal, bukan tunggu kandungan tular
Pendekatan keselamatan Internet perlu beralih daripada sekadar memadam kandungan berbahaya selepas ia tersebar kepada tindakan pencegahan lebih awal, khususnya bagi melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa.
Pakar Keselamatan Siber Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Ts. Dr Nur Izura Udzir berkata platform digital perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan mengesan kandungan berbahaya sebelum ia sempat tersebar secara meluas.
Menurut beliau, teknologi termasuk sistem penapisan berasaskan kecerdasan buatan (AI) boleh digunakan untuk mengesan serta menyekat sementara kandungan mencurigakan sebelum tindakan lanjut diambil.
Beliau berkata platform digital perlu bertindak seperti “barisan pertama” dalam menangani kandungan berbahaya yang muncul dalam persekitaran mereka sendiri.
Tindakan pantas itu bukan sahaja dapat mengurangkan risiko pengguna terdedah kepada kandungan berbahaya, malah penting bagi memastikan bukti digital dapat dipelihara untuk tujuan siasatan dan pendakwaan.
Pandangan itu dikemukakan dalam artikel Cyber Security Academia Malaysia (CSAM) bertarikh 18 September 2026 yang membincangkan keperluan mengubah pendekatan keselamatan dalam talian daripada tindakan selepas kejadian kepada pencegahan awal.
Isu berkenaan semakin mendapat perhatian susulan ancaman bahan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian atau Child Sexual Abuse Material (CSAM), selain peningkatan pelbagai bentuk penipuan digital.
Artikel itu turut merujuk operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menemukan lebih 880,000 fail berkaitan CSAM serta membawa kepada 31 tangkapan.
Sementara itu, Presiden Malaysia Cyber Consumer Association, Siraj Jalil berkata pengesanan lebih awal juga penting bagi mengelakkan kandungan terlarang terus disimpan dan tersebar melalui ruang tersembunyi seperti dark web.
Katanya, tindakan segera turut membantu pihak berkuasa mengesan modus operandi sindiket, menyelamatkan mangsa dengan lebih cepat serta menghalang penjenayah daripada berpindah ke platform lain.
Pendekatan pencegahan itu selari dengan keperluan memperkukuh pendidikan keselamatan Internet kepada masyarakat, khususnya pelajar dan ibu bapa, supaya pengguna bukan sahaja tahu mengenal pasti ancaman tetapi juga memahami tindakan yang perlu diambil sebelum menjadi mangsa.
Usaha mendidik pengguna sejak di bangku sekolah menerusi program seperti Kempen Internet Selamat (KIS) juga menjadi antara langkah penting untuk membentuk generasi yang lebih peka terhadap risiko digital, manakala platform pula perlu memainkan peranan menghalang ancaman sebelum ia sampai kepada pengguna.
BACA JUGA Pensiangan Sabah kini terhubung, menara JENDELA buka peluang pendidikan, ekonomi penduduk – Pakar