‘Perpaduan ummah’ Pas dikitar semula menjelang PRN Melaka, ramai ungkit kemelut kuasa di Negeri Sembilan

Baru sahaja Pas mengitar semula slogan “perpaduan ummah” menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, parti itu sudah menjadi sasaran sindiran netizen yang mengaitkannya dengan kemelut politik dan perebutan kuasa tidak berkesudahan di Negeri Sembilan.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menerusi Facebook menyatakan bahawa “Melaka sudah memanggil” sambil memberi bayangan gagasan perpaduan ummah akan sekali lagi direalisasikan.

“Perpaduan ummah sekali lagi bakal direalisasikan.

“Insya-Allah PH (Pakatan Harapan) bakal bertemu kekalahan berikutnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Namun, keyakinan Ahmad Fadhli bahawa PH bakal tewas dibalas dengan sindiran pengguna media sosial dengan rekod kepincangan kerjasama politik Pas sebelum ini.

Ada yang terus mengheret isu Negeri Sembilan dengan mendakwa penyatuan antara parti-parti berkenaan bukannya membawa kestabilan, sebaliknya mencetuskan kekecohan politik yang berlarutan.

Seorang pengguna Facebook, Nagin Nirmala, secara sinis menulis bahawa “penyatuan ummah biru dengan hijau” di Negeri Sembilan sudah menunjukkan hasilnya sehingga negeri itu iaitu menjadi huru-hara.

Nada hampir sama disuarakan Fakruzaman Ismail yang secara ringkas menyindir: “Dah penyatuan ummah… porak-peranda Negeri Sembilan.”

Bagi Mohamad Asraff pula, beliau mempersoalkan sama ada retorik “penyatuan ummah” benar-benar berasaskan kepentingan umat atau sekadar berkisar perebutan kedudukan politik.

“Penyatuan ummah la sangat… yang sebenarnya nak jawatan,” tempelaknya.

Lebih keras, beberapa pengguna lain mengungkit sejarah hubungan Pas dengan parti-parti politik yang pernah menjadi sekutu mereka.

Rata-rata mempersoalkan sejauh mana kerjasama baharu itu mampu bertahan apabila kepentingan politik masing-masing mula bertembung.

Terdapat juga netizen yang mengingatkan semula tempoh ketika Pas berada dalam kerajaan Persekutuan, dengan mengaitkannya dengan isu harga barangan dan gangguan bekalan beberapa keperluan asas ketika itu.

BACA JUGA MB, bekas Exco menghadap mantan Tunku Panglima Besar pagi ini