Ada kepincangan dalam PN, sebab itu ROS bertindak – Zahid
Penggantungan semua aktiviti Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya susulan aduan yang diterima daripada salah satu parti dalam gabungan itu, kata Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Zahid, tindakan berkenaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab RoS untuk menjaga kepentingan anggota pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Katanya, terdapat beberapa kepincangan dalam PN yang menyebabkan ROS mengambil tindakan penggantungan tersebut.
“Tentunya ada beberapa kepincangan yang berlaku dalam Perikatan Nasional yang menyebabkan penggantungan ini dibuat oleh ROS.
“Dalam konteks ini, tentunya ada rungutan ataupun aduan yang dihantar oleh sebuah daripada parti gabungan itu menyebabkan penggantungan dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sidang pertama Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah Tahun 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.
Zahid pada masa sama berharap PN dan parti-parti yang membentuk gabungan itu dapat menghadapi perkembangan berkenaan dengan tenang, terutama ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin hampir.
Katanya, PN tentunya mempunyai perancangan tersendiri sekiranya penggantungan berkenaan berterusan.
Menurut beliau, parti-parti gabungan PN masih boleh menggunakan lambang parti masing-masing untuk menyertai pilihan raya sekiranya keadaan itu berlanjutan.
“Tentunya parti-parti gabungan itu akan menggunakan lambang parti masing-masing untuk masuk ke gelanggang pilihan raya negeri Melaka atau pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.
ROS sebelum ini mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN berkuat kuasa 23 September 2026.
Tindakan itu dibuat di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966, susulan notis yang dikeluarkan kepada PN pada 22 September lalu.
Bagaimanapun, tindakan penggantungan berkenaan berbeza daripada pembatalan pendaftaran PN.
ROS dalam kenyataan sebelum ini menegaskan notis yang dikeluarkan kepada PN bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung aduan yang dilaporkan oleh salah satu parti gabungan itu dan bukan keputusan pembatalan pendaftaran.
Perkembangan tersebut kini meletakkan PN dalam situasi baharu ketika gabungan berkenaan turut berdepan persoalan mengenai hala tuju dan penyertaan parti komponennya menjelang PRN Melaka.
BACA JUGA Notis ROS bukan batal PN, tapi kegiatan parti kini digantung