Lewat bertindak, dibimbangi mangsa trauma – Dr Nellie
Kelewatan mengambil tindakan terhadap kandungan berbahaya dalam talian dibimbangi boleh memanjangkan kesan trauma kepada mangsa, terutama kanak-kanak yang terdedah kepada eksploitasi di ruang digital.
Pakar Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nellie Ismail berkata tindakan pantas penting bagi mengurangkan risiko kandungan sedemikian terus tersebar dan memberi kesan lebih buruk kepada mangsa.
Menurutnya, kanak-kanak merupakan kumpulan paling terdedah kerana mereka mungkin belum mempunyai tahap kematangan mencukupi untuk memahami atau mengenal pasti bahaya yang sedang dihadapi.
“Golongan itu mungkin belum mempunyai kematangan untuk mengenal pasti bahaya yang dihadapi selain ada yang takut untuk tampil membuat laporan,” katanya.
Keadaan itu, katanya, boleh menyebabkan mangsa terus berdiam diri walaupun berdepan pengalaman yang memberi tekanan dan kesan emosi berpanjangan.
Justeru, tindakan terhadap kandungan berbahaya tidak seharusnya hanya dilakukan selepas ia tersebar secara meluas, sebaliknya mekanisme pengesanan dan pencegahan awal perlu diperkukuh.
Peranan ibu bapa, sekolah dan platform digital juga penting bagi memastikan kanak-kanak mempunyai ruang selamat untuk melaporkan sebarang pengalaman mencurigakan atau tidak selesa ketika menggunakan Internet.
Kesedaran sejak peringkat awal turut diperlukan supaya kanak-kanak tahu bahawa mereka perlu mendapatkan bantuan apabila berdepan ancaman, gangguan atau kandungan yang boleh membahayakan mereka.
Pendekatan itu selari dengan usaha memperkukuh pendidikan keselamatan Internet yang bukan sahaja memberi pengetahuan mengenai risiko digital, tetapi turut membantu kanak-kanak mengenal pasti bahaya dan mengetahui saluran untuk mendapatkan bantuan.
Setakat 30 Jun 2026, program yang dilaksanakan Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu telah menjangkau 10,303 sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Kementerian Komunikasi memaklumkan seramai 2,190,104 peserta terlibat dalam KIS termasuk menerusi 2,143 program komuniti yang dilaksanakan di seluruh negara sejak kempen itu diperkenalkan pada Januari 2025.
Kempen Internet Selamat(KIS) terus memperlihatkan jangkauan meluas apabila lebih 2.19 juta peserta telah menerima pendedahan mengenai keselamatan digital di seluruh negara.