PM Anwar berdukacita kehilangan abang

Perdana Menteri berkongsi khabar duka apabila abang beliau, Allahyarham Idrus Ibrahim, meninggal dunia ketika beliau dalam perjalanan pulang ke Malaysia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berita pemergian abangnya itu diterima dengan perasaan amat berat kerana Allahyarham merupakan insan yang berkongsi begitu banyak kenangan sepanjang perjalanan hidupnya.

Menurut beliau, kehilangan itu sukar diungkapkan dengan kata-kata apabila seseorang yang begitu dekat dalam keluarga kini telah pergi buat selama-lamanya.

“Sukar untuk saya ungkapkan rasa kehilangan ini apabila seorang sosok yang berkongsi begitu banyak kenangan sepanjang perjalanan hidup kini telah tiada,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat berada di sisi Allahyarham pada saat-saat akhirnya.

Namun beliau berkata, dirinya reda menerima ketentuan itu meskipun hati masih cuba menerima sebuah perpisahan yang tidak pernah mudah untuk dihadapi.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan atas segala kenangan dan kebaikan yang ditinggalkan Allahyarham, yang menurutnya akan terus terpahat dalam ingatan serta hati keluarga.

Beliau pada masa sama memohon orang ramai dan kenalan mendoakan Allahyarham Idrus agar segala khilafnya diampunkan serta rohnya dirahmati Allah SWT.

Anwar turut berdoa agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

“Terima kasih atas segala kenangan dan kebaikan yang ditinggalkan dan semuanya akan kekal terpahat dalam ingatan dan hati kami,” kata Perdana Menteri lagi.

Untuk rekod, Allahyarham Idrus yang merupakan abang sulung Anwar meninggal dunia pada usia 83 tahun akibat faktor usia tua.

Jenazah Allahyarham kini berada di kediaman keluarga Anwar di Cherok Tokun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Solat jenazah akan diadakan esok selepas solat Jumaat di surau sementara Masjid Cherok Tokun Bawah.

BACA JUGA Pecah tanah 2018, janji siap 36 bulan: Apa status Hospital An-Nisa’ RM100 juta di Kelantan?