PRN Melaka, Mat Sabu arah jentera AMANAH turun padang guna pendekatan Rahmatan Lil ‘Alamin
Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka membuka tirai persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru jentera parti di semua peringkat segera menggerakkan persiapan pilihan raya.
Mohamad yang mesra disapa sebagai Mat Sabu berkata arahan itu ditujukan khususnya kepada seluruh jentera parti di semua peringkat supaya mula turun ke lapangan.
“Saya menyeru seluruh jentera Pakatan Harapan, khususnya daripada AMANAH di semua peringkat untuk mula turun ke lapangan dan menggerakkan segala persiapan yang diperlukan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan jentera AMANAH supaya menjadikan kesabaran dan kesiapsiagaan sebagai asas menghadapi PRN, dengan memetik firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 200.
Menurutnya, pendekatan Rahmatan Lil ‘Alamin perlu dibawa dalam setiap gerak kerja sepanjang menghadapi pilihan raya.
Beliau berkata pendekatan itu perlu diterjemahkan melalui politik yang membawa rahmat, keadilan dan kebaikan kepada semua, tanpa menjadikan perbezaan kaum serta agama sebagai bahan untuk mencetuskan kebencian.
“Bawalah pendekatan Rahmatan Lil ‘Alamin dalam setiap gerak kerja, politik yang membawa rahmat, keadilan dan kebaikan kepada semua, tanpa menjadikan perbezaan kaum dan agama sebagai bahan untuk mencetuskan kebencian,”katanya.
Mat Sabu turut menyeru seluruh jentera supaya bergerak sebagai satu pasukan dengan mengutamakan disiplin, amanah dan semangat kebersamaan.
Katanya, setiap sumbangan diperlukan dalam menghadapi pilihan raya, tanpa mengira besar atau kecil peranan yang dimainkan oleh anggota parti.
“Besar atau kecil peranan yang dimainkan, setiap tenaga dan sumbangan amat diperlukan,”jelasnya.
Beliau kemudian menzahirkan harapan agar segala usaha dan kerja keras jentera dapat membuahkan kejayaan buat Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Melaka akan datang.
Seruan itu dibuat selepas pembubaran DUN Melaka, sekali gus membuka ruang kepada proses pilihan raya negeri dan persiapan parti-parti politik untuk menghadapi pengundian.