Soal ekuiti, kenapa tak tanya Najib dulu? Srikandi PKR jawab Nooryana
Pertikaian mengenai pemansuhan syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi institusi pendidikan swasta kini berbalik kepada rekod kerajaan terdahulu apabila Ketua Srikandi PKR Nurhidayah Che Rose meminta Nooryana Najwa Najib melihat semula dasar liberalisasi ketika bapanya, Najib Razak, menjadi Perdana Menteri.
Nurhidayah berkata, Nooryana memang berhak mempersoalkan perubahan dasar kerajaan semasa, namun persoalan mengenai ekuiti perlu dilihat secara konsisten dengan keputusan yang pernah dibuat ketika pentadbiran Najib.
Dalam kenyataan hari ini, beliau mengingatkan bahawa kerajaan pimpinan Najib pada 2009 mengumumkan liberalisasi 27 subsektor perkhidmatan, termasuk langkah membuka ruang pemilikan asing tanpa syarat ekuiti tertentu.
Kenyataan Najib ketika itu turut menyebut liberalisasi tersebut membenarkan pelabur asing akses pasaran tanpa sekatan dengan pegangan ekuiti sehingga 100 peratus.
“Jika liberalisasi ketika pentadbiran Najib boleh dilaksanakan sebagai sebahagian daripada perubahan dasar ekonomi, mengapa perubahan syarat ekuiti hari ini terus dijadikan modal untuk menyerang kerajaan?” kata Nurhidayah.
Menurutnya, liberalisasi berkenaan bukan sekadar berlaku dalam sektor perkhidmatan, sebaliknya turut melibatkan sektor pendidikan. Beliau mendakwa pada 2012, beberapa subsektor pendidikan turut dibuka kepada pemilikan asing sehingga 100 peratus.
Rekod rasmi MIDA pula menunjukkan kerajaan telah meliberalisasikan subsektor pendidikan pada 2009 bagi membolehkan pemilikan asing sehingga 100 peratus, yang kemudiannya menyumbang kepada peningkatan pelaburan asing dalam sektor berkenaan.
Kenyataan Nurhidayah itu muncul selepas Kementerian Pendidikan mengumumkan pada 21 September bahawa syarat minimum 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi dikenakan sebagai syarat kepada syarikat sendirian berhad yang mengendalikan institusi pendidikan swasta tertentu di bawah kementerian itu.
KPM berkata penyelarasan dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan dan membuka ruang penyertaan kepada pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan.
Isu itu bagaimanapun turut mencetuskan persoalan mengenai bidang kuasa dasar ekuiti. MITI kemudian menjelaskan bahawa dasar pemilikan ekuiti Bumiputera berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi, dan kementerian itu tidak mempunyai maklumat mengenai kenyataan KPM berhubung penyelarasan syarat pemilikan institusi pendidikan swasta.
Nurhidayah berkata perkara itu tidak seharusnya dijadikan bahan serangan secara terpilih terhadap Kerajaan MADANI dengan mengetepikan keputusan liberalisasi yang pernah dibuat kerajaan terdahulu.
“Nooryana berhak mengkritik Kerajaan MADANI. Tetapi jangan jadikan isu ekuiti bahan serangan terpilih sambil mengetepikan rekod pentadbiran sendiri,” katanya.
Pertikaman lidah mengenai dasar ekuiti itu kini memperlihatkan dua perkara yang perlu dibezakan perubahan dasar kerajaan semasa dan rekod dasar liberalisasi pentadbiran terdahulu. Kedua-duanya boleh dinilai berdasarkan dasar, tarikh dan skop sektor yang terlibat.
Jadi persoalannya bukan sekadar siapa yang mengubah syarat 30 peratus ekuiti, tetapi sejauh mana kritikan terhadap perubahan itu konsisten dengan dasar liberalisasi yang pernah dilaksanakan sebelum ini.