Holista lancar kempen ‘Screen-Free Futures’, gesa ibu bapa kurangkan penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Pelancaran Kempen Kebangsaan “Screen-Free Futures: Protecting Malaysia’s Children” oleh Dato’ Rajen Manicka Pengarah Holista Biotech Sdn Bhd sempena di Avenue K, 156, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. 25hb September 2026 (Jumaat)

Holista Biotech Sdn Bhd melancarkan Kempen Kebangsaan Screen-Free Futures: Protecting Malaysia’s Children bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai kesan penggunaan gajet secara berlebihan terhadap kesihatan dan perkembangan kanak-kanak

Pengarahnya, Dato’ Rajen Manicka berkata, kempen itu bertujuan menggalakkan keluarga mengurangkan masa penggunaan skrin serta memperbanyakkan aktiviti fizikal dan interaksi sosial.

Menurutnya, penggunaan telefon pintar, tablet dan komputer secara berlebihan, khususnya pada waktu malam, boleh mengganggu kualiti tidur kanak-kanak.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai pendedahan kepada cahaya biru daripada peranti elektronik yang menurutnya boleh menjejaskan tidur dan berpotensi mengganggu perkembangan kanak-kanak.

Sehubungan itu, Rajen menggesa ibu bapa menetapkan had penggunaan gajet di rumah serta menggalakkan anak-anak melakukan aktiviti luar seperti bermain di taman permainan.

Katanya, ibu bapa juga perlu mengelakkan amalan memberikan telefon pintar kepada anak-anak semata-mata untuk menenangkan mereka kerana dikhuatiri boleh mewujudkan kebergantungan terhadap peranti tersebut.

Beliau turut mencadangkan supaya waktu makan dijadikan ruang bebas gajet bagi membolehkan ahli keluarga berinteraksi dan menikmati pengalaman makan secara menyeluruh.

Dalam masa sama, Rajen menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan memperkukuh keselamatan kanak-kanak di media sosial, termasuk menangani risiko gangguan seksual dan pendedahan kepada kandungan berbahaya.

Beliau menegaskan bahawa teknologi bukan sesuatu yang perlu ditolak sepenuhnya, sebaliknya penggunaannya perlu dikawal secara seimbang demi kesejahteraan generasi muda.