Program e-Tuisyen NADI lahir pelajar cemerlang, Syawal raih 7A SPM 2025
Program e-Tuisyen Rakyat NADI terus membuktikan peranannya sebagai sokongan pendidikan digital apabila lebih 42,000 pelajar Tingkatan Lima menyertai program itu pada 2025, dengan puluhan peserta mencatat keputusan cemerlang dalam SPM.
Melalui rangkaian pusat NADI di seluruh negara, pelajar mendapat akses kepada kelas langsung, bahan pembelajaran digital, bimbingan guru serta kemudahan internet yang membantu mereka membuat persediaan lebih tersusun menghadapi peperiksaan. NADI kini mempunyai 1,099 pusat di seluruh negara.
Kesan program itu dapat dilihat menerusi kisah Muhammad Syawal Rozlan, pelajar SMK Penanti yang memperoleh 7A dalam SPM 2025 selepas mengikuti e-Tuisyen di NADI Taman Machang Bubok sejak Disember 2024. Sebelum itu, Syawal mengakui Matematik dan Sains antara subjek yang paling mencabar baginya.
Daripada pernah gagal beberapa peperiksaan, prestasi Syawal meningkat kepada 4A sebelum akhirnya meraih 7A. Kisahnya menjadi antara contoh bagaimana akses kepada bimbingan akademik, peranti dan internet yang stabil melalui e-Tuisyen NADI boleh membantu pelajar meningkatkan pencapaian mereka.