‘Selamat berehat, abangku, damailah di sana’, luahan hati sayu Anwar iringi pemergian Idrus
Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa pilu dan kehilangan yang mendalam menerusi ungkapan penuh kasih sayang ketika mengiringi perjalanan terakhir abang tersayang, Allahyarham Idrus Ibrahim.
Menerusi tiga hantaran berturut-turut di media sosial rasminya, Perdana Menteri berkongsi detik-detik terakhir bersama keluarga, bermula dengan kepulangannya ke Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, sehinggalah menyempurnakan solat jenazah Allahyarham.
Dalam hantaran terbaharunya sebentar tadi, Anwar menitipkan ucapan perpisahan yang menggambarkan betapa berat untuk menerima kehilangan seorang abang yang menjadi sebahagian penting daripada perjalanan hidupnya.
“Berat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sosok yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup, berkongsi suka dan duka serta meninggalkan kenangan yang akan terus hidup dalam ingatan kami.
“Kini yang tinggal hanyalah doa dan rindu yang tidak akan pernah berpenghujung.
“Selamat berehat, abangku, damailah di sana dalam rahmat dan kasih sayang-Nya. Al-Fatihah,” luahnya.
Sarat kesedihan
Terdahulu, Anwar memaklumkan kepulangannya ke Cherok Tok Kun dengan hati yang sarat kesedihan bagi bersama keluarga besar memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Idrus yang merupakan abang kedua beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas segala kasih sayang, jasa dan budi yang dicurahkan Allahyarham kepada seluruh keluarga sepanjang hayatnya.
“Insya-Allah, kami akan terus melangkah, menguatkan hati meneruskan saki-baki kehidupan, meski kehilangan ini meninggalkan ruang yang tidak mungkin terisi,” katanya.
Dalam hantaran berikutnya, Anwar berkongsi bahawa beliau menunaikan solat Jumaat di Dewan Solat Sementara Masjid Cherok Tok Kun Bawah bersama ahli keluarga dan jemaah setempat, sebelum bersama-sama menunaikan solat jenazah Allahyarham Idrus.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT menerima segala amalan abangnya, mengampunkan segala kekhilafan serta menempatkan Allahyarham dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
Dalam masa sama, Anwar turut menzahirkan penghargaan bagi pihak seluruh keluarga kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib bersama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah serta teman-teman yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Menurutnya, kehadiran mereka serta setiap doa dan kata-kata semangat amat bermakna ketika beliau dan seluruh keluarga masih bergelut menerima kehilangan insan tersayang.
“Terima kasih atas setiap doa dan kata-kata yang menguatkan kami saat hati masih berat menerima kehilangan ini, sesungguhnya kehadiran kalian amat bermakna buat kami sekeluarga,” kata Anwar lagi.
Semalam, Allahyarham Idrus dilaporkan meninggal dunia pada usia 83 tahun akibat faktor usia tua.
Anwar mempunyai lapan orang adik-beradik hasil perkahwinan ibu bapa kandungnya, Allahyarham Ibrahim Abdul Rahman dan Allahyarhamah Che Yan Abdul Hamid Hussein.
Beliau juga mempunyai seorang adik perempuan sebapa daripada perkahwinan kedua bapanya, menjadikan jumlah keseluruhan sembilan orang adik-beradik.
BACA JUGA ‘Kalau tak mahu, duduk sajalah dalam penjara’, netizen balas kenyataan peguam Najib