AMK: Jangan jadikan institusi Raja-Raja Melayu ‘tembolok politik’

 Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa semua pihak menghormati kedudukan institusi Raja-Raja Melayu serta menyelesaikan kemelut melibatkan institusi diraja Negeri Sembilan melalui saluran undang-undang dan proses adat yang sah.

Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata kepentingan politik tidak seharusnya mengatasi prinsip Perlembagaan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta kedudukan Raja-Raja Melayu.

Kenyataan itu dibuat selepas mesyuarat AMK yang turut membincangkan perkembangan politik semasa, kesiapsiagaan menghadapi PRN Melaka serta pengukuhan organisasi dan agenda anak muda.

Dalam kenyataan media hari ini, AMK berkata pihaknya memandang serius polemik membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan dan menyelar apa yang didakwanya sebagai pendekatan pimpinan Umno-MCA-BN bersama Pas dan Wawasan dalam menangani isu berkenaan.

Menurut AMK, sebarang usaha yang boleh menurunkan atau mengaibkan raja pemerintah yang sedang bertakhta perlu dielakkan kerana institusi berkenaan mempunyai kedudukan yang termaktub dalam Perlembagaan.

AMK berkata penyelesaian kemelut berkenaan juga perlu mengambil kira prinsip Islam, termasuk kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagai Ketua Agama Islam negeri.

“Pertimbangan keadilan, adab, proses adat yang wajar dan kemaslahatan rakyat mesti mendahului kepentingan dan tembolok politik,” menurut kenyataan itu.

AMK turut menegaskan bahawa sebarang pertikaian perlu ditangani melalui proses yang sah tanpa menjatuhkan kehormatan Yang di-Pertuan Besar atau mencemarkan institusi diraja.

“Malaysia tertegak dengan prinsip negara hukum. Justeru semua pihak yang terlibat wajib mematuhi Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan proses adat yang sah,” katanya.

AMK mahu laporan FELDA dibentang

Dalam kenyataan sama, AMK turut menggesa kerajaan membentangkan segera laporan berkaitan FELDA serta beberapa institusi Bumiputera lain termasuk MARA dan NAFAS yang didakwa mempunyai isu penyelewengan, salah guna kuasa dan kehilangan aset.

Menurut AMK, rakyat berhak mengetahui jumlah kerugian yang ditanggung, perkembangan usaha mendapatkan semula aset serta tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

AMK berkata usaha mempertahankan institusi Bumiputera tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kelangsungan institusi, sebaliknya turut melibatkan usaha memastikan integriti dan manfaatnya kepada masyarakat terus dipelihara.

Gesaan itu dibuat ketika isu pengurusan beberapa institusi berkaitan kerajaan dan Bumiputera terus mendapat perhatian awam.

Mengakhiri kenyataan, AMK menegaskan bahawa institusi Raja-Raja Melayu perlu dihormati, undang-undang dipatuhi dan amanah rakyat dipelihara.

AMK turut menggesa isu berkaitan institusi seperti Tabung Haji, FELDA dan MARA ditangani menerusi proses yang telus supaya institusi yang diwujudkan untuk kepentingan rakyat tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.