MB Negeri Sembilan kena ‘semak’ kuasa? Saifuddin ingatkan: Setiap kuasa ada batas

Tindakan penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan membuka persoalan lebih besar mengenai had kuasa pentadbiran negeri, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata prinsip kedaulatan undang-undang dan tatakelola baik perlu dipertahankan supaya setiap tindakan pentadbiran dibuat berdasarkan bidang kuasa serta peruntukan undang-undang yang jelas. 

Beliau merujuk tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim menggantung tugas Datuk Mohd Zafir Ibrahim sebagai SUK dan Datuk Muzalmah Mustapha Kamal sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri.

Menurut Saifuddin, pendirian Bahagian Perlembagaan dan Undang-Undang Negeri, Jabatan Peguam Negara (AGC) jelas bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas kedua-dua pegawai berkenaan.

“Asas perundangannya jelas. Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 menetapkan bahawa urusan pelantikan mahupun penggantungan tugas bagi kedua-dua jawatan utama ini berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan,” katanya.

Saifuddin berkata ketetapan berkenaan menunjukkan kepentingan setiap pihak memahami had kuasa masing-masing, terutama apabila sesuatu tindakan pentadbiran melibatkan jawatan kanan dalam perkhidmatan awam negeri.

Katanya, tidak ada pihak yang sepatutnya bertindak secara unilateral sehingga melangkaui bidang kuasa yang ditetapkan oleh perlembagaan negeri dan undang-undang.

“Tiada mana-mana pihak boleh bertindak secara unilateral melangkaui bidang kuasa serta peruntukan perlembagaan yang telah ditetapkan,”katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata setiap kuasa yang diberikan dalam pentadbiran datang bersama batas dan tanggungjawab, manakala penghormatan terhadap batas itu menjadi asas kepada kekuatan institusi serta keyakinan terhadap sistem pentadbiran.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata penjawat awam yang menjalankan amanah dan tanggungjawab perlu dilindungi daripada tindakan yang tidak melalui saluran serta proses perundangan sewajarnya.

Beliau turut menegaskan pematuhan terhadap Perlembagaan dan undang-undang penting bagi memastikan pentadbiran negara kekal stabil, teratur dan berintegriti.

“Semangat amanah menjadi benteng penting dalam memastikan integriti institusi pentadbiran serta keselamatan perkhidmatan awam terus terpelihara daripada sebarang tindakan yang dibuat tanpa kuasa yang sah,”katanya.

Saifuddin berkata isu berkenaan akhirnya kembali kepada prinsip asas pentadbiran iaitu kuasa mesti dilaksanakan mengikut undang-undang, institusi dihormati dan amanah kepada rakyat dipelihara.