Murid maut di Kuala Pilah, KPM terus ‘buka fail’: Nazir arah audit segera

Kematian seorang murid Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan mencetuskan siasatan berlapis apabila Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit segera terhadap aspek keselamatan dan pematuhan tatacara di sekolah berkenaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata audit itu bertujuan mengenal pasti sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan yang mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.

Menurutnya, KPM tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya siasatan mendapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang.

“Tiada pihak akan dilindungi sekiranya didapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam masa sama, siasatan polis terhadap kejadian itu masih berjalan dengan seorang pelajar dilaporkan telah ditahan bagi membantu siasatan.

Fadhlina berkata KPM dan pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus.

“KPM dan pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus,” katanya.

Fadhlina turut turun ke sekolah berkenaan pagi tadi bagi mendapatkan penjelasan berhubung kejadian serta tindakan yang telah diambil pihak sekolah.

Beliau mengadakan pertemuan dengan warga sekolah, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta PDRM dalam lawatan tersebut.

Pada masa sama, Fadhlina menzahirkan rasa dukacita atas pemergian murid berkenaan dan menyampaikan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Saya telah bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham di hospital bagi menyampaikan sendiri rasa simpati atas kehilangan yang amat menyayat hati ini,” katanya.

KPM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga Allahyarham serta warga sekolah yang terkesan akibat kejadian itu.

“Dalam saat yang sukar ini, keutamaan kita adalah keluarga Allahyarham. KPM akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan PDRM dan memastikan kebajikan warga sekolah terus terpelihara,” katanya.

Audit Jemaah Nazir dan siasatan PDRM itu kini menjadi dua proses berasingan yang perlu dilalui sebelum sebarang tindakan lanjut ditentukan berdasarkan hasil siasatan masing-masing.

BACA JUGA ANALISIS | RM28 bilion, ECRL dan AI: Apa PMX bawa pulang dari China?