Boleh ke kumpul dana bantu pesalah pecah amanah? Dr Rora perjelas apa hukumnya

Pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle tampil menjelaskan hukum mengumpul dana bagi membantu seseorang pesalah untuk membayar denda bagi pihak mereka.

Dalam kuliah beliau baru-baru ini, beliau berkata perkara ini perlu dilihat berdasarkan keadaan individu berkenaan, termasuk sama ada dia benar-benar insaf atau masih meneruskan perbuatan tidak baik yang pernah dilakukan.

Menurut beliau, dalam Islam terdapat hukuman yang telah ditetapkan dan tidak boleh diubah seperti hudud, dan juga ada hukuman yang bentuknya tidak ditetapkan secara khusus iaitu hukuman takzir.

Hukuman takzir termasuk penjara dan denda dalam bentuk wang atau harta, dengan tujuan memberi keinsafan kepada individu yang melakukan kesalahan. 

Menurut pensyarah Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (i-FURQAN) itu, dalam menentukan sama ada seseorang wajar dibantu, perkara utama yang perlu dilihat ialah kesan bantuan tersebut terhadap pesalah sama ada ia mendorong keinsafan atau sebaliknya.

“Kalau kita nak bantu kita kena tengok adakah bantuan kita itu akan menyebabkan dia insaf ataupun dia telah pun insaf ataupun dia akan meneruskan benda-benda tak baik yang dia pernah buat dulu.

“Kalau kita bantu kita tengok…eh nampak macam tak insaf pun makin meneruskan juga kerja-kerja jahat ni. Dia (pesalah) pula kata tak apa nanti kalau aku kena kena denda kita bukalah peluang untuk derma.

“Jadi kalau dalam keadaan macam itu dia termasuk dalam ayat Quran (yang menyebut) jangan berbantu-bantu dalam perkara dosa dan permusuhan,” kata beliau.

Penjelasan itu hadir ketika isu kutipan dana bagi membantu membayar denda Datuk Seri Najib Razak sedang menjadi perhatian susulan usaha Umno mengumpul sumbangan bagi tujuan berkenaan.

Dalam pada itu beliau berkata, terpulang kepada individu itu sendiri untuk menilai sama ada pesalah tersebut insaf dengan kesalahan yang dilakukannya itu atau tidak.

“Tapi kalau memang dah insaf, kita pun tengok dia memang dah berubah, kita nak bantu atas dasar kerana memang dia tak mampu, then dalam keadaan itu ia dibenarkan.

“Kitalah kena nilai sendiri,” katanya lagi.