Program sulung BAHTERA Pahang catat jualan RM92,155 dalam sehari

FOTO BERITA: Penganjuran sulung Bazar Himpunan Usahawan Pemasar Ikan dan Penternak Akuakultur (BAHTERA) peringkat Pahang mencatatkan jualan RM92,155 hanya dalam tempoh sehari. (Gambar: Unit Media LKIM)

Program anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Dataran Temerloh itu turut menerima sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat sebelum melabuhkan tirainya hari ini.

Daripada jumlah jualan yang direkodkan pada Sabtu (26 September), sebanyak RM63,138.40 disumbangkan menerusi Zon Segar, diikuti Zon Pemprosesan RM16,488.60 dan Zon Kulinari RM12,528.

Majlis perasmian penutupan disempurnakan Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, dengan diiringi Ketua Pengarah LKIM, Dr Abdul Salim Haji Tajudin.

Muhammad Faiz berkata, BAHTERA merupakan antara inisiatif baharu LKIM bagi memperkukuh perusahaan serta pemasaran hasil perikanan, selain memberi manfaat secara langsung kepada usahawan dan pengguna.

Program itu menghimpunkan nelayan, penternak akuakultur dan usahawan dalam satu platform bagi membolehkan hasil perikanan dipasarkan secara lebih dekat dan terus kepada pengguna.

Pendekatan berkenaan juga dapat memendekkan rantaian pemasaran dan mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah, selain membolehkan pengguna mendapatkan hasil perikanan segar pada harga lebih kompetitif.

Antara tarikan BAHTERA ialah tawaran potongan harga sekitar 10 hingga 30 peratus bagi produk terpilih, kupon rebat, jualan Happy Hour, sesi uji rasa serta pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga.

BAHTERA turut mengetengahkan Zon Segar, Zon Pemprosesan dan Zon Kulinari yang menawarkan ikan, udang, sotong, patin dan tilapia serta produk sejuk beku, siap masak, produk kering dan hidangan berasaskan hasil perikanan tempatan.

Susulan sambutan menggalakkan di Pahang, LKIM merancang memperluaskan BAHTERA ke negeri-negeri lain bagi membantu meningkatkan jualan dan skala perniagaan usahawan, di samping memperkukuh rantaian pemasaran perikanan negara.