RENCANA | Dari bijih timah ke REE, adakah sejarah perebutan kekayaan akan berulang?

OLEH LIYANA MARZUKI

Malaysia ini kaya. Kaya dengan hasil bumi. Kalau dulu kita ada bijih timah, hari ini kita ada pula REE yakni Rare Earth Elements atau Nadir Bumi. 

Nilainya bukan kecil. Di seluruh negara, potensi sumber ini dianggarkan bernilai ratusan bilion ringgit. Bagi kita orang biasa, kita boleh bertanya.

Hasil bumi ini sebenarnya milik siapa? Dan siapa yang berhak mendapat manfaat daripadanya? Emas, bijih timah, balak dan sekarang REE.

Dahulu sistem pemerintahan kita berbeza. Tanah Melayu diperintah melalui sistem beraja dan masyarakat feudal. 

Kuasa politik, tanah dan kekayaan memang banyak tertumpu kepada Raja, pembesar dan bangsawan. Tetapi negara kita sudah berubah.

Kita bukan lagi hidup dalam zaman Raja Mutlak.

Kita hidup dalam sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi. Ada undang-undang. Ada Kerajaan Negeri. Ada prosedur dan tatakelola.

Sebab itu, siapa pun yang mahu mengusahakan hasil bumi sama ada orang biasa, politikus, pembesar, bangsawan atau kerabat, mereka harus tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa.

Tak boleh sesuka hati korek tanah dan ambil hasilnya. Ada kelulusan yang perlu diperoleh. Ada syarat perlombongan. 

Ada isu pemilikan dan penggunaan tanah. Ada keperluan alam sekitar. Di samping permit, royalti, premium atau hasil yang perlu dibayar mengikut undang-undang. 

Sebabnya hasil bumi bukan sekadar peluang membuat keuntungan. Ia adalah kekayaan negeri yang sepatutnya turut memberi manfaat kepada rakyat.

Itulah bezanya sistem moden dengan sistem feudal.

Sebab itu saya tertarik dengan pendedahan berhubung REE di Negeri Sembilan.

Menurut carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diterbitkan oleh Nokta.my, terdapat maklumat korporat yang mengaitkan Undang Johol dan mantan Undang Jelebu dengan syarikat yang dikatakan mempunyai kepentingan berkaitan REE.

Bagi saya, seseorang pembesar, kerabat atau bangsawan nak berniaga, berniagalah. Tiada masalah. 

Kita pun sedia maklum dari dulu lagi ada pembesar, kerabat dan bangsawan Melayu yang terlibat dalam dunia perniagaan. Mereka tubuh syarikat, bina konglomerat dan berniaga seperti orang lain.

Antah dan Gamuda contohnya. Berpuluh tahun sudah ada. Hidup dan berjaya. Kita orang biasa ok sahaja. Pembesar, kerabat atau bangsawan nak berniaga, itu bukan isunya.

Yang menarik perhatian saya dalam carian SSM ini ialah alamatnya. Menurut carian yang diterbitkan itu, alamat Balai Undang dinyatakan sebagai alamat pengarah syarikat berkenaan.

Kalau rekod SSM itu tepat, bagi saya ini menimbulkan persoalan yang wajar dijelaskan.

Sebabnya Balai Undang bukan kediaman persendirian. Ia merupakan tempat yang dikaitkan dengan kedudukan dan urusan rasmi seseorang Undang.

Jarang kita tahu atau lihat, Raja atau kerabat gunakan Istana sebagai alamat urusan komersial mereka ya. Tetapi Undang boleh guna? Apa bezanya mereka? 

Kemudian berlegar pula satu surat yang dikatakan dikeluarkan oleh seorang Undang kepada sebuah syarikat berhubung urusan REE.

Saya tidak boleh mengesahkan sendiri ketulenan surat tersebut. Sebab itu saya tidak mahu menghukum sesiapa berdasarkan satu surat yang berlegar di media sosial.

Tetapi kalau surat itu benar dan sahih, kandungannya wajar diteliti dan dijelaskan oleh pihak berkuasa.

Benarkah urusan pemilikan atau aktiviti perlombongan REE boleh dilakukan melalui Undang tanpa melalui proses Kerajaan Negeri?

Apakah kuasa undang-undang yang membolehkan perkara tersebut?

Adakah semua kelulusan, permit, syarat alam sekitar, royalti dan hasil negeri tetap perlu dipatuhi?

Dan paling penting siapa sebenarnya yang akan mendapat manfaat daripada hasil REE tersebut?

Ini soalan yang wajar ditanya. Bukan soal dengki kepada orang kaya.

Ramai yang tak ada masalah orang kaya menjadi lebih kaya. Kerabat nak berniaga, berniagalah. Bangsawan nak berniaga, berniagalah.

Pembesar nak berniaga, berniagalah. Politikus atau orang biasa pun sama. Tetapi apabila perniagaan menyentuh hasil bumi milik negeri, standardnya mesti berbeza.

Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan individu yang memegang kedudukan institusi atau adat.

Semakin tinggi kedudukan seseorang, semakin penting pemisahan antara jawatan, institusi dan kepentingan peribadi perlu jelas.

Bukan sahaja untuk melindungi rakyat. Tetapi untuk melindungi kehormatan institusi itu sendiri.

Dulu, bijih timah merupakan antara kekayaan yang membentuk politik, kuasa dan perebutan kepentingan di Tanah Melayu.

Hari ini kita mempunyai REE yang nilainya berbilion ringgit. Sebelum kita membuat apa-apa kesimpulan, persoalan yang timbul patut dijawab secara terbuka.

REE ini milik siapa? Siapa yang melombong? Siapa yang meluluskan? Berapa yang negeri akan dapat? Dan akhirnya, siapa yang bertanggungjawab pastikan ia selamat dan menjaga anak watan?

Kalau semuanya dibuat mengikut undang-undang, bagus. Tunjukkan. Namun kalau ada yang tidak kena, perlulah disiasat.

Dulu, hasil bumi pernah membentuk sejarah Tanah Melayu. Bijih timah membawa kekayaan. Dengan kekayaan datang kepentingan. Dengan kepentingan datang perebutan kuasa.

Hari ini, kita ada REE. Nilainya bukan lagi jutaan. Tetapi berbilion ringgit. Dan bila saya melihat apa yang mula muncul mengenai REE di Negeri Sembilan, saya jadi teringat sejarah lama.

Sebab dalam sejarah, perebutan kuasa jarang sekali berlaku kerana kuasa semata-mata. Ia selalunya berlegar sekitar harta benda. 

Kita tengok ke mana perginya episod ini. Adakah sejarah perebutan kuasa × wang akan berulang kembali?