194 peserta gegarkan Kejohanan Catur Harapan Lumut 2026, 160 daripadanya bakat muda.

FOTO BERITA: Seramai 194 peserta menyertai Kejohanan Catur Harapan Terbuka Lumut 2026 yang berlangsung di Lotus’s Manjung, dengan hampir 83 peratus daripadanya terdiri daripada pemain muda bawah 12 dan 16 tahun. (Gambar: Ihsan Penganjur)

Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM5,000 itu menyaksikan penyertaan 94 peserta kategori bawah 12 tahun (U12), 66 peserta bawah 16 tahun (U16) dan 34 peserta kategori Terbuka.

Ketua Komuniti Madani Bandar Seri Manjung, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar (kiri) berkata, sambutan menggalakkan daripada golongan muda membuktikan sukan catur semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi pelapis.

Kejohanan yang berlangsung selama tujuh pusingan itu turut disertai pemenang pingat emas E-Chess SUKMA Selangor 2026, Nirish Kumar Siva Kumar, yang muncul juara kategori Terbuka selepas mencatat enam kemenangan dan satu keputusan seri untuk mengumpul 6.5 mata.

Sementara itu, Tan Kuan Ming mencuri tumpuan apabila muncul juara kategori U12 dengan rekod sempurna tujuh kemenangan daripada tujuh perlawanan, manakala Sue Anne Tan mengungguli kategori U16 dengan 6.5 mata.

Kehadiran Pengurus Pasukan Catur SUKMA Selangor 2026, Muriza Hazrul turut memberi peluang kepada peserta muda mendekati individu yang terlibat secara langsung dalam pembangunan sukan catur di peringkat SUKMA.

Mohd Ikhmal berharap kejohanan seumpama itu dapat menjadi platform mencungkil bakat baharu yang berpotensi mewakili Perak dan Malaysia pada masa hadapan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Zon 4, Abdul Razak Nazri, dengan sokongan JKP MPM Zon 4, Kelab Sukan dan Rekreasi Madani serta Lotus’s Manjung selaku penaja lokasi.
Kejohanan itu bukan

Kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan persaingan, malah memberi peluang kepada pemain muda mengasah pemikiran strategik, membina keyakinan diri dan memupuk semangat kesukanan.