‘Ada yang jadi lain bila bergelar First Lady, Kak Hasmah tidak’, kata Rafidah

Bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz menyifatkan Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai seorang wanita luar biasa yang tidak pernah berubah sikap meskipun bergelar isteri Perdana Menteri.

Menurut bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, Hasmah merupakan wanita contoh yang sentiasa merendah diri, tidak angkuh dan tidak pernah membesarkan diri walaupun mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat.

Berkongsi kenangan menerusi temu bual bersama Astro Awani, Rafidah berkata, keperibadian Siti Hasmah cukup berbeza kerana beliau sentiasa menjadi dirinya sendiri tanpa perlu berpura-pura di hadapan orang lain.

“Kita kehilangan seorang wanita yang betul-betul wanita contoh. Tak ada aksi, dia tidak berbuka muka. Itulah dia.

“Kalau sesetengahnya kalau ‘First Lady’, (sikap) lain dah. Ini (Hasmah) tak,” katanya yang memanggil isteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu dengan panggil ‘Kak’.

Rafidah yang mengenali Hasmah sejak lebih 60 tahun lalu berkata, hubungan mereka bermula ketika beliau masih berusia lingkungan 20-an dan menuntut di universiti, jauh sebelum kedudukan politik menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Menurutnya, persahabatan itu terjalin menerusi aktiviti wanita dan hubungan sosial, bukannya disebabkan jawatan dalam Umno.

“Saya panggil dia Kak Hasmah, tak pernah panggil lain. Dia panggil saya Rafidah. Kami macam adik-beradik,” katanya yang sudah berpengalaman selama 22 tahun sebagai menteri.

Dalam temu bual sama, Rafidah turut berkongsi pengalamannya mengikuti pasangan berkenaan ketika mengadakan lawatan ke luar negara.

Katanya, beliau sering menyaksikan kemesraan hubungan Siti Hasmah dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang gemar bergurau serta ketawa bersama.

Malah, Rafidah berpandangan ungkapan yang menyebut bahawa di belakang setiap lelaki berjaya ada seorang wanita hebat sepatutnya diubah kerana Hasmah bukan sekadar berada di belakang suaminya, sebaliknya sentiasa berdiri di sisinya.

“Kak Hasmah bukan di belakang Tun. Kak Hasmah di sisi Tun. Saya nak tukarkan pepatah itu. Di sisi seorang lelaki yang berjaya ada seorang wanita iaitu isterinya, bukan di belakang suami,” katanya.

Rafidah turut mengakui amat sedih dengan pemergian Allahyarhamah, lebih-lebih lagi kerana beliau belum lama menghadiri jamuan tengah hari bersama sahabat lamanya itu.

“Saya kehilangan Kak Long. Begitulah,” katanya sambil menyifatkan semangat Allahyarhamah untuk terus maju berdasarkan keupayaan sendiri sebagai legasi yang wajar dikenang.

Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pagi tadi.

BACA JUGA Pernah gagal peperiksaan, benarkan pesakit bawa kerbau: Ini 7 kisah menarik Tun Dr Siti Hasmah