Siti Nurhaliza turut berduka, kenang sifat keibuan Tun Dr Siti Hasmah, titip doa buat Tun M
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Siti menyifatkan pemergian Allahyarhamah pada usia 100 tahun sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah seluruh rakyat Malaysia.
Menurutnya, Allahyarhamah merupakan tokoh wanita yang banyak menabur jasa dan memberikan sumbangan besar dalam bidang kesihatan, kebajikan serta pembangunan wanita sepanjang hayatnya.
“Pemergian Allahyarhamah suatu kehilangan besar buat seluruh rakyat Malaysia memandangkan jasa dan sumbangan Tun Dr Siti Hasmah yang begitu banyak dalam bidang kesihatan, kebajikan dan pembangunan wanita sepanjang hayatnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penyanyi tersohor tanah air itu turut mengenang keperibadian Allahyarhamah yang disifatkannya sebagai seorang wanita penyayang, lemah lembut dan memiliki sifat keibuan yang tinggi.
Dalam masa sama, Siti tidak melupakan Dr Mahathir yang kini berdepan kehilangan isteri tercinta, dengan mendoakan agar bekas Perdana Menteri itu diberikan kekuatan untuk menghadapi saat sukar berkenaan.
“Saya mendoakan agar Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga Allahyarhamah diberikan ketabahan, kesabaran dan kekuatan jiwa dalam menghadapi dugaan berat ini,” katanya.
Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada jam 9.20 pagi tadi.
BACA JUGA Anwar arah Istiadat Pengebumian Pembesar Negara buat Tun Dr Siti Hasmah, titip doa buat Tun M