Tak perlu lagi ke bandar, 1,600 kedai koperasi bakal sediakan kemudahan tebus MyKasih

Penerima bantuan MyKasih di luar bandar bakal menikmati kemudahan membeli barangan keperluan lebih dekat dengan rumah apabila 1,600 kedai koperasi di seluruh negara diperkasakan untuk menyediakan perkhidmatan penebusan bantuan berkenaan.

Inisiatif Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) itu bertujuan mengurangkan beban penerima bantuan yang selama ini terpaksa melakukan perjalanan jauh ke pekan atau bandar semata-mata untuk membeli barangan keperluan harian.

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, perjalanan tersebut menyebabkan penerima bantuan menanggung perbelanjaan tambahan termasuk kos minyak, tol dan tempat letak kenderaan.

Menurutnya, jika kemudahan penebusan MyKasih dapat disediakan di kedai koperasi kampung, penerima tidak lagi perlu mengeluarkan wang tambahan untuk mendapatkan barangan keperluan.

“Kalau kemudahan itu ada di kedai koperasi kampung, nilai bantuan boleh digunakan sepenuhnya untuk membeli barangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kabin Koperasi Kariah Masjid At-Taqwa Kg Awah Berhad di Masjid At-Taqwa, Kampung Awah, Maran, semalam.

Abdul Fattah menjelaskan, daripada kira-kira 3,600 koperasi yang menjalankan aktiviti peruncitan di seluruh negara, sebanyak 1,600 mempunyai premis kedai yang berpotensi menyediakan kemudahan penebusan MyKasih.

Setakat ini, sebanyak 198 kedai koperasi sedang melalui proses bagi memenuhi syarat yang ditetapkan, termasuk aspek pendaftaran, penyediaan sistem jualan (POS), capaian Internet dan pelesenan.

Angkasa kini giat membantu koperasi terbabit melengkapkan segala keperluan tersebut supaya lebih banyak kedai, khususnya di kawasan luar bandar, dapat menawarkan perkhidmatan penebusan bantuan berkenaan.

Selain memudahkan urusan penerima MyKasih dan mengurangkan kos perjalanan mereka, usaha itu turut dijangka merancakkan aktiviti ekonomi setempat melalui peningkatan jualan kedai koperasi kampung.