Tun Siti Hasmah kembali ke rahmatullah
Tun Siti Hasmah Mohamad Ali meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur sebentar tadi.
Perkara itu dimaklumkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Isteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia 100 tahun itu meninggal dunia pada jam 9.20 pagi.
Hasmah merupakan antara perintis wanita Melayu dalam bidang perubatan, tokoh kesihatan awam, aktivis kebajikan serta pencinta seni muzik.
Walaupun dilahirkan dan dibesarkan di Selangor, Hasmah mempunyai pertalian keturunan Minangkabau dari Negeri Sembilan.
Beliau merupakan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulan pengajiannya di King Edward VII College of Medicine, Singapura dan menamatkan pengajian perubatan pada 1955.
Pada 1965, Hasmah menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan dalam Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak di Kedah.
Seterusnya pada 1974, beliau mencatat satu lagi pencapaian apabila dilantik sebagai pegawai wanita pertama yang mengetuai perkhidmatan kesihatan ibu dan anak peringkat negeri.
Beliau terlibat dalam kempen kesihatan bagi memastikan penduduk luar bandar, khususnya wanita dan kanak-kanak, mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Anak keenam daripada 10 adik-beradik itu mengenali Dr Mahathir ketika kedua-duanya menuntut di Singapura kemudian berkahwin pada 4 Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh anak.

Ketika menjadi isteri Perdana Menteri, beliau aktif menerajui organisasi kebajikan, kesihatan dan pembangunan wanita, termasuk BAKTI, selain memberikan perhatian terhadap pendidikan dan kesejahteraan keluarga.
Beliau juga membawa suara wanita Malaysia ke pentas dunia apabila mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Dunia Keempat Mengenai Wanita anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Beijing pada 1995. Beliau menyampaikan ucapan berkaitan kesaksamaan, pembangunan dan keamanan.
Meminati muzik
Di sebalik kerjaya perubatannya, beliau mahir bermain piano dan biola yang dipelajarinya ketika berusia lingkungan 20-an.
Pada 2018, biola miliknya dilelong pada harga RM35,000 untuk mengumpul dana kempen Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Bukan sahaja berbakat dalam bidang muzik, Hasmah ligat bermain badminton sehingga berusia sekitar 75 tahun sebelum terpaksa berhenti akibat kecederaan.
Beliau pernah menjadi penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), membantu pembangunan bakat muda dan memberikan sokongan moral kepada pemain kebangsaan, termasuk skuad yang menjuarai Piala Thomas 1992.
Darjah Kebesaran Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran Tun, disandang Hasmah pada 31 Oktober 2003 sekaligus menjadikannya isteri Perdana Menteri Malaysia pertama menerima anugerah itu.
Sumbangannya diiktiraf oleh pelbagai institusi pengajian tinggi, termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , University of Edinburgh dan University of Victoria, yang menganugerahkan ijazah kehormat kepadanya.
Meniti usia lanjut, Hasmah yang dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Klang, Selangor itu turut mempelajari bahasa Perancis dan alat muzik tradisional China dan erhu.
Antara adik-beradik Hasmah yang terkenal ialah bekas Gabenor Bank Negara Malaysia dan Pengerusi pertama Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ismail Mohamed Ali.
Selain itu, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali; bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Ahmad Razali Mohd Ali serta tokoh perubatan yang turut terlibat dalam perkembangan awal Umno, Dr Saleha Mohd Ali.
BACA JUGA ‘Ingatkan mimpi, rupanya betul’, tawaran mengajar di UKM kepada pelawak BN ini mengejutkan