UiTM Holdings panas, anak muda mahu siasatan diteruskan

“Baguslah skandal UiTM pulak terbongkar.”

Demikian luahan seorang pengguna media sosial yang menyifatkan pendedahan berkaitan UiTM Holdings Sdn Bhd sebagai perkara yang perlu dibongkar lebih lanjut, termasuk persoalan mengenai kontrak penyelenggaraan kampus UiTM Tapah.

Individu itu membangkitkan persoalan mengenai UiTM Tapah apabila kos pembinaannya sekitar RM285 juta, namin kontrak penyelenggaraan selama 23 tahun boleh mencecah RM1.3 bilion.

Dia turut mempersoalkan keadaan penyelenggaraan kampus serta siapa yang mendapat manfaat daripada kontrak-kontrak berkenaan.

“Baguslah skandal UiTM pulak terbongkar. UiTM Tapah tu kos buat RM285 juta, tapi maintenance punya kontrak dapat dekat Tajudin 23 tahun sampai RM1.3billion. 

“Kenyang anak beranak macam itu je. Padahal kampus-kampus semua ni tak ada lah elok sangat pun maintenance nya. Itu baru 1. Bongkar UiTM 1 Malaysia siapa yang untung dengan kontrak-kontrak ni. 

“Memang warlord-warlord Umno saja. Yang totok sokong semua B40. Selepas itu salahkan DAP,” kata individu tersebut di Threads.

Isu ini telah mencetuskan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan anak muda yang mempersoalkan bagaimana pengurusan syarikat itu boleh berdepan isu kerugian serta kontroversi kontrak bernilai besar.

Di ruangan komen, anak muda meluahkan rasa marah kerana mereka melihat kesannya dari sudut kebajikan mahasiswa. 

Lebih penting, mereka mahu siasatan yang sedang dijalankan tidak terhenti di tengah jalan, sebaliknya diteruskan sehingga segala persoalan mengenai pengurusan dan kewangan UiTM Holdings mendapat penjelasan.

“Duit-duit itu kalau digunakan dengan betul, pelajar ni mungkin dapat makan percuma 3 kali sehari.”

“Budak-budak UiTM tu ikat perut kadang dekat asrama, bnyk benda boleh kasi kemudahan budak-budak tu.”

“Aku budak UiTM, tapi aku lagi yakin kerja dengan DAP”.

Sebahagian anak muda turut meluahkan kekecewaan terhadap Umno yang dikaitkan dalam skandal ini. 

“Bukan UiTM Tapah sahaja. Tak silap ada 10 UiTM yang jenis macam ni wujud. Semua orang politik sauk.”

“Buka kolej memang nak songlap duit orang je, bukan niat nak majukan anak bangsa.”

SPRM sebelum ini mengesahkan siasatan berkaitan UiTM Holdings masih berjalan, termasuk isu pembayaran RM42 juta berkaitan projek solar 50 megawatt (MW) di Gambang, Pahang.

Difahamkan, RM42 juta itu telah dibayar bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek solar tersebut serta dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah (BOD).

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa satu penilaian semula dibuat secara menyeluruh terhadap struktur tadbir urus serta pengurusan anak syarikatnya, UiTM Holdings berikutan prestasi kewangan syarikat berkenaan yang mencatatkan kerugian.