300 belia, 50 pasukan berentap dalam Kejohanan Mobile Legends Mega DUN Pelabuhan Klang
FOTO BERITA: Seramai 300 belia daripada 50 pasukan menyertai Kejohanan Mobile Legends: Bang Bang Mega DUN Pelabuhan Klang 2026 yang berlangsung meriah di Dewan Tan Sri G. Gnanalingam, Westports Pulau Indah, pada 27 September lalu. (Gambar: Pusat Khidmat Ahli Majlis N46C)

Kejohanan e-sukan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM6,800, sekali gus menjadi platform kepada golongan muda mempamerkan bakat dan kemahiran dalam permainan Mobile Legends. Pasukan T20 Esport muncul juara, diikuti Team Tadi sebagai naib juara, manakala Syanatzy Esport meraih tempat ketiga. Tempat keempat hingga keenam masing-masing dimenangi Gasak Spirit, Chelo dan Libang Libung ML.

Kejohanan berkenaan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri. Program itu merupakan anjuran bersama Pusat Khidmat Rakyat N46 DUN Pelabuhan Klang, Pusat Khidmat Ahli Majlis N46C, Penggerak Belia Selangor (PeBS) N46C dan Westports Malaysia Sdn. Bhd.

Selain mencungkil bakat dalam bidang e-sukan, penganjuran kejohanan tersebut turut menyediakan ruang kepada anak muda untuk berkumpul, bersaing secara sihat dan membina semangat berpasukan.

Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, rakan penganjur dan urus setia yang menjayakan program berkenaan, selain menyatakan hasrat untuk menganjurkan kejohanan lebih besar dan meriah pada masa akan datang.
