‘Bila dah meninggal baru nak tunjuk baik’, Ridhuan Tee mengundang kecaman ramai
Tindakan pendakwah kontroversi, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mempertikaikan kehadiran pemimpin kerajaan pada majlis penghormatan terakhir Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengundang kecaman pengguna media sosial.
Rata-rata mempersoalkan hantaran ayah kepada pelakon Syafi Tee itu yang mengaitkan urusan pengebumian isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pertikaian politik.
Menerusi hantaran Facebook, Ridhuan Tee mendakwa sempat tiba di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, sebelum pukul 4 petang semalam untuk menziarahi jenazah Hasmah.
Bagaimanapun, dia mendakwa melihat gelagat pihak berkuasa yang menurutnya tidak mempedulikan Allahyarham ketika masih hidup, tetapi tampil memberikan penghormatan selepas pemergiannya.
“Sempat melihat gelagat org berkuasa. Masa hidupnya, sambutan merdeka pun, tidak dipedulikan.
“Bila dah meninggal baru nak tunjuk baik. Sedih sungguh melihat lakonan dunia,” katanya.
Ridhuan Tee turut mengaitkan perkara tersebut dengan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, sambil mendakwa bekas Menteri Kewangan itu terus menerima tekanan sehingga akhir hayatnya.
“Baru saya faham erti dunia orang berkuasa, bila meninggal, baru nak ingat, nak tunjuk hebat.
“Masa hidupnya buat tak peduli saja, meskipun berjasa. Inikah permainan dunia akhir zaman?” ujarnya lagi.
Adabul ikhtilaf
Menjengah ke ruangan reaksi yang dibanjiri lebih 2,300 komentar setakat ini, warganet dilihat mempertikaikan tindakan Ridhuan Tee membuat andaian terhadap niat individu yang hadir memberikan penghormatan terakhir.
Pengguna Facebook, Sharil Shahari menyindir tindakan berkenaan dengan menulis: “Orang lain datang membawa doa ke rumah duka. Dia datang membawa neraca untuk menimbang niat orang.”
Sementara itu, Mohsin Sani mempersoalkan kecenderungan Ridhuan Tee membangkitkan naratif sedemikian yang hanya membuka ruang kepada cacian dan pertelingkahan dalam kalangan penyokong politik.
Bagi Hashim Suboh pula, beliau menasihati Ridhuan Tee supaya tidak membiarkan kebencian dan prejudis mempengaruhi pemikiran serta tindakannya, khususnya ketika mengulas perkara yang menuntut penghormatan terhadap keluarga yang sedang berduka.
Menurut Hashim, perbezaan pandangan politik sepatutnya ditangani dengan menjaga adab, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan sesama masyarakat.
“Kami yang terlibat dalam politik dan mungkin sedikit jahil berbanding saudara pun tidak tergamak untuk membuat kenyataan yang sangat tidak beradab dan terbabas jauh dari adab perbezaan pendapat (adabul ikhtilaf),” katanya lagi.
BACA JUGA PH tak akan terima tawaran BN, Khalid perjelas hala tuju PRN Melaka