RM691.7 juta jadi RM330.96 juta? Bekas CEO Felda didakwa perdaya lembaga

Dua belas tahun selepas keputusan berkaitan pembangunan komersial tanah Felda dibuat, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) hari ini berdepan dua pertuduhan memperdayakan Lembaga Pengarah agensi berkenaan membabitkan pelantikan syarikat serta penilaian harga pasaran 24 bidang tanah.

Mohd Zaid Abdul Jalil, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad.

Memetik laporan Sinar Harian, Mohd Zaid yang hadir dengan memakai kemeja putih didakwa melakukan kesalahan itu ketika memegang jawatan sebagai CEO Felda, masing-masing pada Januari dan April 2014.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Zaid didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah Felda untuk mempercayai bahawa Synergy Promenade Sdn Bhd layak dilantik sebagai Project Delivery Partner–Master Developer bagi projek The Proposed Commercial Development On Felda Lots In Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mendakwa Mohd Zaid mengetahui syarikat berkenaan hanya layak dilantik sebagai Project Delivery Partner–Master Planner.

Perdayaan itu didakwa mendorong Lembaga Pengarah Felda meluluskan pelantikan Synergy Promenade sebagai Project Delivery Partner–Master Developer, sedangkan keputusan itu didakwa tidak akan dibuat sekiranya lembaga berkenaan tidak diperdayakan.

Kesalahan bagi pertuduhan pertama itu didakwa berlaku di Bilik Mesyuarat Lembaga, Menara Felda, Persiaran KLCC pada 16 Januari 2014.

Pertuduhan kedua pula menyentuh angka penilaian 24 bidang tanah milik Felda yang dicadangkan untuk pembangunan komersial di Bandar Kuala Lumpur dan Mukim Setapak.

Mohd Zaid didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah untuk mempercayai bahawa penilaian harga pasaran yang dilaporkan Firdaus & Associates Property Professionals Sdn Bhd berjumlah RM330.96 juta, sedangkan beliau didakwa mengetahui nilai sebenar yang dilaporkan adalah RM691.7 juta.

Pada masa sama, mahkamah dimaklumkan anggaran awal nilai pasaran oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi kesemua tanah berkenaan ialah RM180 juta. Namun, Mohd Zaid didakwa mengetahui bahawa JPPH tidak pernah memberikan anggaran awal berkenaan kepada Felda.

Perdayaan itu didakwa menyebabkan Lembaga Pengarah menerima tawaran daripada Synergy Promenade berdasarkan cadangan Minimum Guaranteed Return RM500 juta atau 10 peratus daripada Gross Development Value, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, sedangkan keputusan tersebut didakwa tidak akan dibuat sekiranya lembaga tidak diperdayakan.

Pertuduhan kedua itu didakwa berlaku di lokasi sama pada 29 April 2014.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

BACA JUGA Saat terakhir Siti Hasmah, Mahathir dan Anwar bersatu dalam doaÂ