Anwar terima salam takziah Emir Qatar, bincang Gaza dan usaha redakan ketegangan Iran

Hubungan Malaysia-Qatar terus diperkukuh apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Amir Negara Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, petang ini.

Dalam perbualan itu, Sheikh Tamim menyampaikan ingatan dan ucapan takziah kepada Anwar susulan pemergian abangnya, Allahyarham Idrus Ibrahim, selain menitipkan salam takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Anwar berkata beliau amat menghargai ingatan dan ucapan takziah yang disampaikan pemimpin Qatar itu, khususnya dalam tempoh yang menyaksikan keluarganya berdepan dua kehilangan.

“Baginda juga memohon agar saya sampaikan salam takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Dalam perbualan sama, kedua-dua pemimpin turut membincangkan perkembangan terkini rundingan damai serta pergolakan di Asia Barat, dengan tumpuan diberikan kepada penderitaan rakyat Palestin di Gaza dan usaha meredakan ketegangan yang melibatkan Iran.

Anwar berkata Malaysia dan Qatar mempunyai pandangan yang sama bahawa perang perlu dihentikan, bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang terjejas perlu disegerakan dan segala usaha diplomatik ke arah perdamaian perlu diperkukuh.

“Kami senada bahawa perang mesti dihentikan, bantuan kemanusiaan disegerakan dan segala ikhtiar damai diperkukuh demi menghentikan penderitaan rakyat,” katanya.

Menurut Anwar, Malaysia akan terus mendukung usaha diplomatik bersama Qatar serta rakan-rakan serantau bagi membantu mewujudkan keamanan yang berkekalan di rantau berkenaan.

Perbincangan itu berlangsung ketika keadaan kemanusiaan di Gaza dan perkembangan rundingan berkaitan konflik Asia Barat terus menjadi perhatian masyarakat antarabangsa. Qatar sendiri sebelum ini menyatakan komitmennya untuk meneruskan usaha pengantaraan dan menyokong penyelesaian politik bagi konflik berkenaan.

Selain isu serantau, Anwar turut menyatakan harapan supaya hubungan Malaysia-Qatar terus berkembang, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan atas undangan Sheikha Moza kepada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Inovasi Dunia untuk Kesihatan (WISH).

Perbualan dengan Sheikh Tamim itu turut menyusuli perbualan telefon Anwar dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada 29 September, yang turut menyampaikan ucapan takziah kepada Anwar atas pemergian Idrus serta kepada Mahathir atas pemergian Siti Hasmah.

Idrus, 83, meninggal dunia ketika tidur di kediamannya di Bukit Mertajam pada 24 September lalu, manakala Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 28 September sebelum dikebumikan di Pusara Negara, Putrajaya pada hari yang sama dengan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

BACA JUGA Kerajaan cari pendekatan seimbang soal gaji minimum pekerja PMKS