Malaysia kecam sekeras-kerasnya pencerobohan terbaru Zionis Israel di Masjid Al-Aqsa
Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan terbaharu ke atas Kompleks Masjid Al-Aqsa yang diduduki lebih daripada seribu pendatang haram Israel dan pegawai kanan rejim yang diketuai Menteri Keselamatan Negara rejim Zionis Israel.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, tindakan pencerobohan berulang kali ini merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa serta status quo sejarah dan undang-undang yang mentadbir Baitulmaqdis Timur dan Al-Haram Al-Sharif.
“Tindakan-tindakan ini bukan sekadar provokasi terpencil, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha berterusan rejim Zionis Israel untuk mengubah identiti dan ciri-ciri Masjid Al-Aqsa serta Baitulmaqdis Timur yang diduduki,” katanya.
Malaysia menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha sedemikian dan menegaskan bahawa kesucian Al-Haram Al-Sharif serta hak beragama para jemaah Islam hendaklah dihormati dan dipelihara.
Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, supaya mengambil tindakan segera dan konkrit bagi memaksa rejim Zionis Israel menghentikan serta-merta pelanggaran serius yang disengajakan dan terang-terangan ini.
Rejim Zionis Israel hendaklah dipertanggungjawabkan atas usaha berterusannya untuk menjejaskan status quo sejarah dan undang-undang di Al-Haram Al-Sharif.
“Malaysia menegaskan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin serta hak mereka yang tidak boleh dinafikan untuk menentukan nasib sendiri, dan mengulangi pendirian konsisten Malaysia bagi penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” ujarnya.