Penghantaran ubat kini percuma melalui pos, kerjasama SKMM-KKM mudahkan urusan pesakit

Pendekatan Kementerian Kesihatan (KKM) kini beralih kepada penjagaan berteraskan pesakit bagi memastikan perkhidmatan kesihatan bukan sahaja berkualiti, malah mudah diakses dan mesra pengguna.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kemudahan penghantaran Ubat Melalui Pos (UMP) secara percuma mulai 1 Oktober merupakan antara langkah yang memberi kemudahan lebih besar kepada pesakit.

Menurut beliau, inisiatif itu khususnya membantu warga emas dan golongan bekerja yang sebelum ini perlu mengambil cuti, memandu jauh, mencari tempat letak kereta atau beratur panjang di hospital untuk mendapatkan bekalan ubat.

“Pendekatan KKM kini beralih sepenuhnya kepada penjagaan berteraskan pesakit (patient-centred care). Kita mahu perkhidmatan kesihatan bukan saja berkualiti, malah mudah akses dan mesra pengguna-pesakit.

“Warga emas dan pekerja kini tidak perlu lagi mengambil cuti, memandu jauh, mencari parking, atau beratur panjang di hospital kerana ubat akan terus ke pintu rumah atau pejabat anda,” katanya menerusi hantaran di media sosial semalam.

Dr Dzulkefly berkata, kemudahan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 87,000 pesakit setiap bulan, selain membantu memastikan kelangsungan rawatan tanpa putus bekalan.

“Langkah serampang dua mata ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, malah memastikan kelangsungan rawatan pesakit terjamin tanpa putus bekalan. Pada masa yang sama, ia kurangkan kesesakan di ruang menunggu farmasi KKM,” katanya.

Dalam hantaran sama, beliau turut menghargai kerjasama SKMM, Kementerian Komunikasi, Pos Malaysia dan warga Farmasi KKM dalam menjayakan inisiatif berkenaan.